PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menegaskan dia tidak menurunkan Timo Werner pada aksi final Piala FA berdepan Liverpool di Wembley, pada Sabtu berikutan masalah kecederaan tonggak serangan Jerman itu.
Menurut Tuchel, Werner memaklumkan kepadanya mengenai kecederaan berkenaan ketika sesi memanaskan badan sebelum aksi final berkenaan bermula.
Justeru Tuchel berkata, dia tidak mahu mengambil risiko menurunkan Werner dan menaruh sepenuh harapan kepada kesebelasan sedia ada bagi mengharungi aksi final berkenaan.
"Dia (Werner), mengalami kecederaan dan mengakui berasa tidak selesa pada sesi memanaskan badan bersama rakan-rakan sepasukan.
"Selain itu seorang lagi pemain, Kai Havertz juga mengalami kecederaaan hamstring dan katanya jika dia menyertai sesi memanaskan badan dan beraksi, dia berkemungkinan besar mengalami kecederaan.
"Kita juga telah menunggu ke saat akhir bagi melihat bagaimana kondisinya yang sebenar namun ternyata kecederaan hamstringnya agak serius” katanya.
Aksi final pada Sabtu menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menghasilkan jaringan hingga tamat masa tambahan bagi mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Kegagalan Mason Mount menyempurnakan sepakan penalti dimanfaatkan sepenuhnya pemain gantian Kostas Tsimikas sejurus kemudian bagi memastikan trofi kedua buat The Reds musim ini.
Mengulas mengenai tindakannya mengeluarkan Ruben Loftus-Cheek setelah pemain berkenaan beraksi hanya selama 14 minit Tuchel berkata, ia secara keseluruhannya adalah bagi memastikan pemain yang bersesuaian untuk penentuan sepakan penalti.
Katanya, tindakannya menggantikan Loftus –Cheek dengan Ross Barkley juga disebabkan Barkley mempunyai rekod menyempurnakan sepakan penalti yang lebih baik.
"Tindakan mengeluarkan Loftus-Cheek memang dilakukan khusus sebagai persediaan pasukan mengharungi sepakan penalti.
"Bagaimanapun, kehadiran Barkley yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti tetap gagal membantu kami kali ini untuk memenangi Piala FA,” katanya.