ALOR SETAR - Polis menahan 10 peniaga yang sedang leka bermain judi belangkas di dalam sebuah pasar besar di Jalan Tunku Abdul Rahman dekat sini pada awal pagi Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, tangkapan pada jam 2.30 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menerusi Op Khas JSJ, Op Aidilfitri dan Op Dadu.
Iklan
Iklan
"Ketika serbuan, semua lelaki berusia 37 hingga 66 tahun itu sedang berkumpul dan mengelilingi sebuah meja batu serta disyaki sedang bermain judi jenis belangkas.
"Hasil siasatan awal mendapati kesemuanya yang merupakan peniaga di pasar berkenaan telah mula bermain judi belangkas selepas perayaan Aidilfitri lepas,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, pelbagai barang yang digunakan untuk bermain judi berkenaan termasuk pinggan, bungkusan plastik berisi beras, buah dadu bergambar dan wang tunai berjumlah RM620 turut dirampas.
Katanya, mereka dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk siasatan mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - Bernama