KUALA LUMPUR - Polis akan mengambil tindakan terhadap seorang lelaki disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam lif sebuah Projek Perumahan Rakyat di sini pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kes itu disiasat oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Kuala Lumpur.
"Kita telah merakam percakapan mangsa dan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta 792 Akta Kanak-kanak.
"Berdasarkan keterangan mengatakan suspek penghidap sakit mental, kita akan membawa suspek ke Hospital Bahagia setelah mendapat perintah mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, tular di media sosial mengenai insiden yang berlaku pada jam 10.15 pagi di mana ibu mangsa menyuruh kanak-kanak perempuan itu pergi ke kedai runcit di hadapan rumah mereka bersama sepupu lelaki berusia tiga tahun.
Ibu kepada kanak-kanak itu mendapati anak perempuannya menangis dan ketakutan, anaknya mendakwa telah dikejar oleh seorang lelaki ketika pulang ke rumah.
Anaknya mendakwa suspek yang berusia lingkungan 30-an itu kemudian bertindak mengejar mangsa dan menahan pintu lif sebelum meraba alat sulit serta dada kanak-kanak perempuan itu.
Ibu mangsa mendakwa kejadian itu pernah berlaku sebelum ini dan laporan polis dibuat kerana risau akan keselamatan diri serta anaknya.