Pesara antara dua maut kemalangan

Iklan
Kenderaan terbabit dalam kemalangan di KM16 Jalan Jerantut-Kuala Tembeling, pada Sabtu. - Foto Ihsan Orang Awam

JERANTUT - Dua individu antaranya seorang pesara maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 16, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling dekat Bukit Atap di sini, pada Sabtu.

Kemalangan melibatkan kereta jenis Honda City, Honda Jazz dan Proton Waja.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, seorang lelaki yang juga pesara Jabatan Pemetaan berusia 68 tahun dari Indera Mahkota Kuantan memandu Honda City meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan, Hospital Jerantut.

Kata Mazlan, seorang lagi mangsa yang maut iaitu penumpang hadapan Honda Jazz yang juga seorang lelaki berusia 23 tahun dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kuala Tembeling yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.

Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta Honda City dari arah Jerantut cuba memotong kereta Proton Waja yang berada di hadapannya.

"Ketika sedang memotong, Honda Jazz yang datang dari arah hadapan menghala ke Jerantut bertembung dengan kereta Honda City.

Iklan

"Akibat kemalangan ini, pemandu Honda City meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Jerantut manakala penumpang Honda Jazz maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

"Pemandu kereta Honda Jazz iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan menerima rawatan di Hospital Jerantut.

"Pemandu dan penumpang kereta Proton Waja, masing-masing lelaki berusia 25 tahun dan kakak iparnya yang berusia 34 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987," katanya.