KAMPAR - Sekumpulan 20 pendaki mengalami detik mencemaskan apabila tapak perkhemahan mereka dipanah petir dalam kejadian di Kem Lebah, Gunung Bujang Melaka di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mereka sedang tidur di tapak berkenaan sebelum hujan lebat dan petir melanda di kawasan itu.
Dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an telah dibawa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kampar.
Mangsa, Chua Soo Sheng, 34, berkata, kejadian kilat menyambar berlaku dalam sekelip mata menyebabkan dia terus tidak sedarkan diri dan mengalami kekejangan.
"Sebelum itu kami kebasahan kerana khemah dimasuki air hujan. Saya tersedar apabila ternampak cahaya kilat kemudian terasa kekejangan dan kebas pada seluruh badan.
"Saya dimaklumkan rakan yang saya mengalami sawan dan sukar bernafas. Adik yang ada di sebelah terus beri bantuan pernafasan (CPR) dan rakan yang lain menghubungi talian kecemasan," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Menurutnya, beberapa rakan lain turut mengadu mengalami kebas dan kekejangan akibat terkena renjatan itu mula bertindak mencari tempat perlindungan.
"Kami masuk jam 9 pagi pada Sabtu dan merancang untuk tidur semalam di tapak kem ini sebelum turun hari ini. Kami tidak menyangka keadaan cuaca cepat berubah.
"Ahli lain yang berpengalaman dalam perubatan turut memberi rawatan awal kepada mereka yang terlibat. Ini pengalaman pertama yang kami alami sejak mula mendaki lima tahun lalu," katanya.
Dia yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu berasa trauma dengan kejadian itu dan berhasrat untuk menangguh seketika minatnya untuk mendaki.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Mohd Hisyam Zakariah berkata, seramai 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada MERS 999 pada jam 5.26 pagi.
"Berdasarkan maklumat, kesemua pendaki berada di 'check point' ke empat iaitu pada ketinggian 1,000 meter dari aras laut.
"Tempoh perjalanan selama empat jam diperlukan untuk tiba di lokasi mangsa. Pemeriksaan awal mendapati mereka berada dalam keadaan baik dan kita mengiringi mangsa turun," katanya.
Operasi turut dibantu 13 anggota polis, tiga kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, dua pegawai Jabatan Perhutanan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).