IPOH - Penduduk di Taman Sri Perkasa di sini diancam keselamatan selepas berlakunya hakisan tanah hingga mengakibatkan struktur dinding sebuah rumah runtuh dalam kejadian pada Ahad.
Kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu disedari penduduk selepas terdengar bunyi dentuman kuat ketika hujan lebat melanda kawasan itu.
Pengerusi Penduduk Taman Sri Perkasa S Rajah, 54, berkata, hujan lebat sejak jam 4 pagi itu turut mengakibatkan kawasan berkenaan dilanda banjir kilat hingga mencecah paras lutut.
"Saya dapat lihat sendiri struktur rumah itu runtuh. Saya percaya kejadian ini mungkin disebabkan aliran air hujan yang tinggi selain sistem perparitan yang tidak betul," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa kerana rumah terbabit merupakan kawasan perumahan baharu dan belum berpenghuni.
Rajah berkata, penduduk sebelum ini telah beberapa kali mengemukakan aduan kepada pihak berwajib berkaitan masalah banjir kilat, namun masalah sama masih berlarutan.
"Saya sudah tinggal di sini 20 tahun dan belum pernah lagi berlaku kejadian hakisan tanah seperti ini.
"Sebagai penduduk, sudah tentulah kita bimbang dan berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku," katanya.