PUTRAJAYA - Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada kalanya bersifat terlalu demokratik dalam membuat keputusan melibatkan kerajaan dan negara.
Menurutnya, Dr Mahathir juga tidak pernah memaksa anggota Kabinet menerima pandangannya malah beliau juga mengalah apabila hujah anggota mesyuarat lebih baik.
Tambah beliau, setiap keputusan dibuat kerajaan Malaysia dilakukan secara kolektif melibatkan perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri Kabinet.
"Keputusan-keputusan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dilakukan selepas berbincang dan mengambil kira pandangan semua pihak.
"Adalah tidak adil bagi sesetengah pihak untuk menuduh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan secara bersendirian,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, anggota Kabinet bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.
"Tidak adil bagi mana-mana pihak untuk meletakkan kesalahan terhadap perdana menteri semata-mata,” ujarnya.
Meskipun tidak menyebut nama sesiapa namun kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja itu mungkin dikaitkan dengan kenyataan ‘bekas diktator’ disuarakan Ahli Parlimen Permatan Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Sementara itu, Nurul Izzah hari ini sekali lagi mempertahankan label ‘bekas diktator’ yang merujuk kepada Dr Mahathir yang pernah digunakannya sebelum ini.
Beliau menegaskan gelaran bekas diktator pernah digunakannya sebelum PRU14 malah termasuk semasa ucapannya dalam demonstrasi Bersih 3.0 dan Bersih 4.0.
Jumaat lalu, Nurul Izzah dalam wawancara dengan akhbar Singapura, The Straits Times menyifatkan Dr Mahathir sebagai bekas diktator dan mengakui sukar bekerja dengan Pengerusi PH itu.