ATLET petanque wanita negara, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali tetap diselubungi perasaan bercampur baur biarpun berjaya memperbaharui pencapaiannya selepas merangkul pingat perak acara doubles di Sukan SEA Hanoi 2021 pada Ahad.
Ia susulan dia dan pasangannya, Nurashimah Senin tidak berjaya membutirkan emas apabila gagal menyaingi kehebatan atlet tuan rumah, Hong Thoa Thai Thi-Lan Anh Tran Le yang melakar kemenangan 13-2 pada final yang berlangsung di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi.
Iklan
Iklan
Pingat gangsa acara itu dimenangi bersama gandingan Kemboja dan Laos.
Menurut Sharifah Aqilah yang pertama kali bergandingan bersama Nurashimah, perasaan terkilan dirasai kerana dia meramalkan mampu mencipta kejutan membawa pulang kilauan emas.
"Kalau mengikut prestasi saya, saya agak berpuas hati namun di sebalik itu, ada juga rasa sebaliknya. Saya berpuas hati kerana dapat mengubah warna pingat yang lalu daripada gangsa kepada perak.
"Namun saya tidak berpuas hati kerana bagi saya, kami boleh melakukan persembahan lebih baik daripada tadi namun kurang bernasib baik," katanya yang ditemui selepas aksi final itu.
Pada edisi 2019 di Filipina, Sharifah Aqilah yang bergandingan dengan Siti Asiah Zaini menghadiahkan gangsa buat negara. - Bernama