SHAH ALAM - Kejayaan meluluskan usul meminda perlembagaan UMNO hasil daripada keputusan sebulat suara dari setiap akar umbi parti bagi memastikan parti itu berada dalam landasan terbaik dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) umum akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apalah ertinya memenangi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan tetapi UMNO tewas PRU akibat perpecahan parti hasil perebutan jawatan sebelum PRU.
"Atas semangat mahukan kestabilan politik diperkukuh, tumpuan untuk memenangi PRU akan datang, kesemua kepimpinan tertinggi parti, bahagian dan akar umbi parti bersetuju untuk bersatu hati fokus kepada keutamaan untuk menang PRU terlebih dahulu,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Ahad
Menurutnya, UMNO mempunyai visi dan misi yang jelas untuk rakyat, masyarakat dan negara. Idea-idea transformasi telah banyak terbukti berjaya.
" Transformasi UMNO dapat dilihat apabila kuasa memilih tidak lagi terletak di tangan 2,510 orang perwakilan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO, tetapi diperluaskan ke peringkat perwakilan Bahagian, melibatkan seramai 146,500 orang ahli,” katanya.
Jelasnya, langkah ini telah meletakkan UMNO lebih ke hadapan, dalam meraikan amalan demokrasi berbanding parti politik lain termasuk yang berjenamakan demokratik.
" Tidak kurang juga dalam soal memastikan kestabilan, tanpa meminda perlembagaan, parti pernah membuat keputusan supaya jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pada pemilihan Jun 2018, setelah 30 tahun kerusi Presiden tidak dipertandingkan sejak 1988, beliau yang ketika itu menjalankan tugas-tugas Presiden telah mencadangkan agar semua jawatan parti termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan dan cadangan tersebut dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi.
" Inilah fasa-fasa yang berlaku di dalam UMNO yang mematangkan kita dan memantapkan parti untuk terus relevan di persada politik tanah air.
" Begitu juga gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum adalah usul daripada majoriti Bahagian-Bahagian yang telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing,” ujarnya.
Katanya lagi, keputusan di peringkat akar umbi, dan seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung dua bulan lalu telah pun dipersetujui dan diluluskan.
"Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi dan membayangkan UMNO mahu terus berubah secara dinamik dan optimis,” katanya.
Tegasnya, UMNO bangkit selepas tewas PRU14 tetapi kekal berpaksikan kesetiaan, bertanggungjawab dan tidak lari ketika bertempur di medan, tidak tunduk kepada ugutan dan kini bersiap siaga berdepan dengan musuh parti serta PRU.
" Saya mengajak kesemua ahli UMNO terus kekal istiqamah dalam perjuangan. Jangan ada mengkhianati parti, jangan tunduk pada musuh parti!,” katanya.