PEJAM celik pejam celik, dah dua minggu kita berhari raya. Merak Jalanan percaya Aidilfitri tahun ini pasti memberikan kenangan terindah buat semua. Apa tidaknya, sudah dua tahun kita ‘memenjarakan’ diri masing-masing.
Tak keterlaluan dikatakan Syawal kali ini paling mengujakan serta penuh kejutan. Semuanya bermula sebaik saja Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh hari raya pada malam Isnin, 1 Mei.
Ketika ramai menjangka 1 Syawal jatuh pada Selasa, 3 Mei, tiba-tiba tarikh hari raya awal sehari iaitu Isnin, 2 Mei.
Maka terloponglah semua apabila mendengar pengumuman tarikh hari raya pada malam itu.
Semua terkejut apabila hari raya diumumkan pada keesokan harinya. Rasanya satu Malaya jadi huru-hara bila dengar pengumuman tarikh hari raya.
Mulai malam itu jugalah tiba-tiba trending ucapan ‘hurry’ raya di media-media sosial. Apa tidaknya, masing-masing kalut nak sambut raya. Pelan asal terpaksa diubah saat akhir. Makna kata, semua perancangan awal tak boleh dipakai lagi.
Senario yang berlaku pada malam itu berubah 100 peratus. Khabarnya golongan ibu mula ‘bersilat’ di dapur nak sediakan juadah raya. Dalam satu masa semua kena fikir nak masak apa sebagai juadah istimewa Syawal kali ini.
Mana nak fikir rendang, ketupat, lemang, nasi minyak, nasi tomato, nasi impit, kuah kacang, lontong, pulut dan macam-macam lagi.
Golongan bapa juga khabarnya tak senang duduk malam itu. Kalau goyang kaki saja, silap-silap isteri di dapur tadi akan tunjuk aura mereka di depan suami masing-masing. Jadi mahu atau tidak, kenalah buat apa yang patut.
Itu antara secebis cerita yang Merak Jalanan nak kongsi pada malam raya. Hanya dek satu pengumuman, habis satu Malaya jadi ‘meriah’. Memang benarlah kata semua, Aidilfitri tahun ini benar-benar ‘hurry’ raya.