Sampai bila nak tunggu menang Piala Thomas

Iklan
Kali terakhir Malaysia memenangi Piala Thomas pada 1992 di Kuala Lumpur. Foto: Sumber internet.

MALAYSIA terus kempunan menjulang Piala Thomas. Kegagalan muncul juara pada kejohanan badminton berpasukan lelaki berprestij di dunia itu menyaksikan penantian Malaysia kini berlarutan selama 30 tahun.

Sudah tentu 30 tahun itu satu tempoh yang cukup lama. Sejak kejayaan penuh bersejarah di Stadium Negara pada malam 16 Mei 1992, pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul naib juara empat kali - edisi 1994 di Jakarta, Indonesia; 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou, China dan 2014 di New Delhi, India.

Iklan
Iklan

Sebelum kejayaan menjuarai Piala Thomas 1992, Malaysia pernah empat kali merangkul trofi keagungan dalam dunia badminton itu. Bermula edisi sulung 1949, ia diikuti dengan tiga kejayaan pada 1952, 1955 dan 1967.

Selepas 25 tahun sejak kali terakhir muncul juara Piala Thomas, Malaysia akhirnya menoktahkan kemarau panjang di bumi sendiri. Kehangatan menentang Indonesia di pentas final pada ketika itu menjadi sejarah gemilang badminton Malaysia.

Iklan

Bersaksikan ribuan penyokong sendiri, Piala Thomas kembali menjadi milik Malaysia selepas kejayaan penuh epik menumbangkan Indonesia 3-2. Seluruh negara berpesta tengah malam itu.

Malaysia pada masa itu diwakili tiga pemain perseorangan - Rashid Sidek (kini Datuk), Foo Kok Keong, Kwan Yoke Meng dan dua pasangan beregu - Razif Sidek (kini Datuk)-Jalani Sidek (kini Datuk Seri) serta Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang.

Iklan

Meremang bulu roma menyaksikan pertarungan kesemua perlawanan penuh dramatik itu, ditambah pula ulasan cukup bertenaga Allahyarham Datuk Hasbullah Awang.

Siapa boleh lupa detik bersejarah itu apabila laungan kemenangan bergema di Stadium Negara sejurus Soon Kit-Beng Kiang menewaskan gandingan handalan Indonesia, Ricky Subagja-Rexy Mainaky dalam pertarungan tiga set 15-12, 10-15, 15-8.Hari ini, mereka dianggap legenda sepanjang zaman.

Segala keringat mereka di tengah gelanggang ketika menjulang nama Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992 tidak akan pernah padam di ingatan peminat badminton tanah air.

Kini tahun bersilih ganti. Misi merampas Piala Thomas masih gagal direalisasi biarpun barisan pemain negara sudah bertukar beberapa generasi. Sampai bila kita harus menanti?