Kontinjen negara tambah tiga emas lagi hari kelapan

Iklan
Ervin cipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama meraih gelaran individu pada Sukan SEA.
KONTINJEN negara menambah koleksi tiga pingat emas pada hari kelapan Sukan SEA Hanoi 2021, masing-masing dalam acara bina badan, gimnastik dan golf pada Ahad.

Namun, pencapaian itu gagal memperbaiki kedudukan kontinjen negara sebaliknya kem Malaysia terpaksa turun satu anak tangga ke kedudukan kelima keseluruhan.

Pada saingan Ahad, seperti disasarkan juara dunia kategori Athletics Physique empat kali berturut-turut sejak 2016, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah yang lebih mesra disapa Mike, menepati ramalan apabila merangkul pingat emas acara 'Athletics Physique' Lelaki.

Mike berkata, beliau berpuas hati dapat memastikan Malaysia meraih sebutir emas pada temasya itu selepas berdepan detik cemas di sini, apabila tidak dibenarkan bertanding selepas didakwa positif Covid-19 pada awalnya yang kemudian menjalani ujian saringan RTK-Ag sebanyak lima kali sebelum akhirnya dibenarkan untuk beraksi.

"Gelaran di Sukan SEA satu-satunya yang saya tidak pernah dapat, ini kali pertama saya masuk dan dapat pingat emas.

"Saya hargai dan berterima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan PPBM (Persekutuan Bina Badan Malaysia) yang sentiasa bagi sokongan.

"Saya menghadiahkan pingat emas ini kepada seluruh rakyat Malaysia dan untuk Keluarga Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita.

Kem bina badan negara juga meraih satu pingat gangsa menerusi Walvern Abdullah-Kok Gong Tai dalam kategori Pasangan Campuran pada hari terakhir acara berkenaan dipertandingkan pada temasya kali ini.

Di Heron Lake Golf Course & Resort, pemain golf Ervin Chang mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama meraih gelaran individu pada temasya Sukan SEA selepas menewaskan Amadeus Susanto Christian dari Indonesia dalam persaingan penuh dramatik sehingga ke aksi playoff.

"Terima kasih di atas sokongan dari Malaysia dan juga di sini di Vietnam, bersorak untuk saya. Saya mahu terus menang tetapi terpaksa melalui ‘playoff’ tetapi saya amat gembira dan bangga untuk memenangi pingat emas untuk Malaysia selepas 21 tahun,” kata Ervin Chang.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas ialah pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 menerusi acara berpasukan lelaki dianggotai Airil Rizman Zahari, S. Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin.

Sementara itu, Jeneath Wong (71-71-69) memperoleh gangsa dalam acara individu wanita mengumpul lima di bawah par 211, ketinggalan jauh sembilan pukulan di belakang pemenang emas Natthakritta Vongtaveelap (67-67-68) dari Thailand, sementara wakil Singapura Aloysa Margiela Atienza Mabutas (74-70-65) membawa pulang perak dengan mengumpul tujuh di bawah par 209.

Di Pusat Gimnasium Quan Ngua, lagu kebangsaan Negaraku berkumandang setelah gimnas artistik wanita negara, Rachel Yeoh Li Wen menghadiahkan Malaysia pingat emas dalam acara palang bertingkat.

Rachel menyifatkan kejayaan dicapainya itu berbaloi dengan segala pengorbanan dan usaha keras yang dilakukan dalam latihan sebelum ini.

"Banyak cabaran sebelum ini...akibat pandemik Covid-19 menyebabkan latihan tidak menentu, malah sebelum ini saya juga mengalami kecederaan.

"Sudah tentu saya sangat gembira dan berpuas hati dengan kejayaan ini kerana dapat membuktikan saya juga mampu memenangi pingat emas,” kata Rachel yang meraih gangsa dalam acara itu pada edisi Filipina 2019 di Manila.

Kejayaan Rachel di Hanoi itu sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi Malaysia dalam acara tersebut di Manila menerusi Farah Ann Abdul Hadi.

Selain itu, skuad gimnastik kebangsaan turut menampilkan aksi membanggakan apabila dua gimnas lelaki Tan Fu Jie dan Muhammad Sharul Aimy masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam acara kekuda berpelana.

Sementara itu, skuad sepak takraw lelaki negara berjaya mengawal tekanan beraksi di hadapan penonton tuan rumah untuk menewaskan Vietnam bagi membawa pulang pingat perak acara regu berpasukan.

Pencapaian itu sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Abdul Talib Ahmad mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada edisi Filipina 2019.

Acara petanque turut memberi kelegaan kepada kontinjen Malaysia selepas beberapa acara disasarkan membawa pulang pingat gagal dalam misi mereka di Hanoi.

Gandingan Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali dan Nurashimah Senin berjaya merangkul pingat perak acara doubles wanita selepas tumpas kepada pasangan tuan rumah Hong Thoa Thai Thi-Lan Anh Tran Le.

Atlet sukan lasak negara Tahira Najmunisaa Muhammad turut tersenarai sebagai penyumbang pingat pada penampilan sulungnya di pentas Sukan SEA apabila meraih perak acara duathlon elit wanita.

Dalam pada itu, atlet para Muhammad Ziyad Zolkefli menjadi penyelamat kem olahraga negara apabila berjaya menghadiahkan satu-satunya pingat iaitu gangsa pada hari kedua acara trek dan padang berlangsung di Stadium Nasional My Dinh.

Skuad wushu negara juga menamatkan cabaran pada Sukan SEA Hanoi 2021 dengan meraih sebutir pingat gangsa pada hari terakhir acara berkenaan dipertandingkan menerus Yeap Wai Kin dalam acara Gunshu Lelaki.

Pencapaian meraih tiga pingat emas, empat perak dan empat gangsa menyaksikan kontinjen negara turun satu tangga ke kedudukan kelima dengan pungutan keseluruhan 16 emas, 12 perak dan 30 gangsa.

Tuan rumah masih mendahului carta kedudukan dengan pungutan 66 emas, 46 perak dan 41 gangsa, diikuti Thailand 24-24-42, Filipina 20-27-37 dan Indonesia 19-27-20.

Malaysia berpeluang menambah koleksi pingat emas apabila empat wakil negara termasuk juara dunia empat kali, Siti Rahmah Mohamed Nasir akan bertarung di pentas final dalam acara pencak silat tanding pada Isnin.

Beberapa acara akan membuka tirai pada Isnin, antaranya menembak, tenpin boling, badminton, taekwondo dan tinju. - Bernama