HASRAT menggunung pendahulu Manchester City untuk membawa tiga mata dari Stadium London semasa melakukan kunjungan ke atas West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) hampir menjadi igauan ngeri apabila terpaksa berhempas pulas untuk melakar keputusan seri 2-2 pada Ahad.
Keputusan seri ketiga dilakar anak buah Pep Guardiola selepas mengharungi 37 perlawanan menyaksikan The Citizens mengumpul 90 mata - empat mata mengatasi Liverpool yang menghuni tangga kedua dengan 86 mata kurang satu perlawanan.
Sementara bagi West Ham pula satu mata tersebut memperkukuhkan kedudukan kelab London tersebut di tangga ketujuh liga dengan 56 mata selepas mengharungi 37 perlawanan - untuk slot ke saingan Eropah musim depan.
Pada perlawanan itu, The Hammers asuhan David Moyes yang masih mengintai slot ke saingan Eropah musim depan terlebih dulu mendahului pelawat hasil jaringan Jarrod Bowen pada minit ke-24' dan 45' untuk memimpin babak pertama 2-0.
Manchester City yang terkenal dengan barisan pemain berstatus lima bintang kemudiannya bangkit lebih bertenaga pada babak kedua apabila Jack Grealish kembali merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-49.
Gol itu ternyata menyuntik semangat para pemain Manchester City apabila mula menggandakan asakan yang keberhasilannya akhirnya diterjemahkan dengan jaringan sendiri pertahanan West Ham, Vladimir Coufal pada minit ke-69.
Manchester City bakal melabuh tirai saingan musim ini dengan menanti kunjungan Aston Villa pimpinan bekas tonggak Liverpool, Steven Gerrard di Stadium Etihad pada Ahad ini.
LIGA PERDANA INGGERIS
Tottenham 1-0 Burnley
Aston Villa 1-1 Crystal Palace
Leeds United 1-1 Brighton
Watford 1-5 Leicester City
West Ham United 2-2 Manchester City
Wolves 1-1 Norwich City