SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan anaknya, Nurul Izzah berhak dan layak memberikan pandangan terhadap kepimpinan kerajaan berdasarkan apa yang dilalui anak sulungnya selama dua dekad sebelum ini.
Anwar berkata, beliau dapat melihat derita dan kesengsaraan yang ditanggung keluarganya sejak dua dekad lalu bermula dengan episode beliau dipecat daripada Kabinet pada 1998.
Katanya, ternyata apa yang berlaku itu memberi kesan dan Nurul Izzah bangkit menjadi simbol kekuatan keluarga serta menumpukan sebahagian hidupnya untuk memungkinkan reformasi di negara ini.
"Izzah berhak dan layak memberikan pandangan. Dan kami sekeluarga akan terus memberikan tumpuan kepada masa depan Malaysia bersama kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, ketika wawancara bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan menggerakkan agenda reformasi sebagaimana sepatutnya.
Selain itu, Nurul Izzah juga dilaporkan meluahkan isi hati bahawa beliau sukar bekerja dengan Dr Mahathir.
Anwar juga menegaskan, sebagai seorang bapa, beliau mempunyai peranan menasihati dan mengingatkan anak-anaknya bahawa sentiasa ada cabaran dalam setiap bidang yang dipilih.
"Izzah adalah anak sulung kami. Sebagai bapa, kebahagiaan dan kesejahteraan beliau adalah keutamaan saya.
"Walaubagaimanapun, sebagai bapa saya juga terpanggil untuk menasihati anak-anak saya bahawa mereka akan sentiasa dihadapkan dengan cabaran dan kekecewaan dalam apa lapangan yang dipilih,” katanya.