MASALAH kecederaan Mohamed Salah dan Virgil Van Dijk memaksa pengendali Liverpool, Jurgen Kloop untuk melakukan sedikit rombakan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), berdepan Southampton di St. Mary, pada Rabu ini.
Menurut Klopp, kedua-dua pemain berkenaan disahkan mengalami kecederaan setelah beraksi menentang Chelsea pada final Piala FA, Ahad lalu.
Kata Klopp, dia mahu memastikan hanya pemain yang benar-benar cergas beraksi pada perlawanan berkenaan bagi merealisasikan kemenangan.
"Perlawanan dengan Southampton ini merupakan perlawanan penting dalam usaha mencapai ‘misi’ memenangi empat kejuaraan (quadruple) bagi semusim.
"Setakat ini, kami masih berada di landasan yang betul untuk merealisasikannya. Oleh sebab itu, kami mahu memberi aksi terbaik,” katanya.
Untuk rekod, Liverpool telah merangkul Piala Liga dan baru-baru ini muncul juara Piala FA setelah menewaskan Chelsea 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Wembley.
Skuad The Reds itu juga bakal beraksi pada final Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid penghujung bulan ini selain turut memburu trofi EPL.
Sementara itu kapten Liverpool, Jordan Henderson berharap kesebelasan pemain segera sembuh daripada kecederaaan bagi mengharungi baki dua perlawanan EPL berdepan Southampton pada Rabu dan Wolverhampton Wanderers, 22 Mei ini.
katanya, kesemua pemain perlu bersedia untuk kedua-dua perlawanan berkenaan dalam usaha merangkul kejuaraan EPL sebelum beraksi pada aksi final ‘terbesar’ musim ini (Liga Juara-Juara), berdepan Real Madrid.
"Ringkasnya, kami ada tiga lagi perlawanan penting yang bakal diharungi. Diharapkan mampu melakar kemenangan pada kesemua perlawanan berkenaan sekali gus, menamatkan saingan musim ini dengan penuh cemerlang,” katanya.