Agong, Permaisuri ucap tahniah kepada Ervin, Mohd Syarul dan Rachel

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada tiga atlet negara yang merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, pada Ahad. - Foto FB Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada tiga atlet negara yang merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, pada Ahad.

Menerusi poster di laman Facebook Istana Negara di sini pada Isnin, Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan berkenaan terhadap pemain golf negara Ervin Chang, atlet bina badan negara Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan gimnas artistik wanita negara Rachel Yeoh Li Wen atas kejayaan mereka pada temasya dwitahunan itu.

Iklan
Iklan

Ervin menjadi pemain golf pertama Malaysia memenangi pingat emas individu lelaki pada Sukan SEA apabila menewaskan pencabarnya Amadeus Susanto Christian (70-71-68) dari Indonesia dalam perlawanan 'playoff' tiga lubang selepas kedua-duanya terikat pada kedudukan tujuh di bawah par 209 selepas mengharungi tiga pusingan di Heron Lake Golf Course & Resort.

Mohd Syarul Azman pula berjaya meraih emas pada penampilan pertamanya pada temasya itu dengan menewaskan empat pesaingnya bagi acara ‘Men's Athletics Physique’ di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi.

Iklan

Gimnas artistik negara Rachel pula menghadiahkan Malaysia pingat emas menerusi acara palang bertingkat (palang asimetrik) selepas meraih 13.000 mata sekali gus menewaskan dua pencabar dari Vietnam dan Singapura di Pusat Gimnasium Quan Ngua. - Bernama

Iklan