Guru OKU gigih hias bilik darjah

Iklan
Abdullah membuat ukuran kain yang dibelinya sendiri untuk dijadikan langsir bilik darjahnya ketika ditemui di SK Tok Uban di sini baru-baru ini. - Foto Bernama

PASIR MAS - Melangkah masuk ke dalam sebuah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Uban, di sini, perasaan pasti terpegun melihat susun atur serta tata rias kelas tersebut yang memberi satu keadaan lebih selesa dan kondusif semasa sesi pembelajaran.

Keterujaan itu pasti bertambah apabila mengetahui inisiatif tersebut dilakukan Abdullah Abd Kadir, 28, guru Orang Kurang Upaya (OKU) yang hanya memiliki tangan kiri.

Iklan
Iklan

Bercakap kepada Bernama, Abdullah yang mengajar subjek Pendidikan Islam berkata biarpun perlu melakukan semua kerja menghiasi kelas secara bersendirian, beliau tidak kisah kerana usaha tersebut memberi impak positif dalam pembelajaran khususnya kelas semakin selesa dan menarik.

"Semua kerja seperti menghias papan kenyataan, jadual tugasan, carta organisasi, jadual waktu, jahit langsir, meletakkan alas meja termasuk kerja-kerja mengecat semuanya saya buat sendiri.

Iklan

"Walaupun hanya memiliki satu tangan, jiwa dan hati saya sangat cekal untuk melakukannya kerana tahu setiap kesukaran dan kepayahan pasti ada ganjaran dan serta hikmahnya,” kata anak jati Pasir Mas itu ketika ditemui baru-baru ini.

Abdullah menunjukkan gambar dan nama murid yang ditampalkan di setiap meja di kelasnya ketika ditemui di SK Tok Uban di sini baru-baru ini. - Foto Bernama

Bercerita lanjut, Abdullah yang mula mengajar di SK To’ Uban sejak Ogos 2018 berkata beliau sudah mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM1,000 untuk menghias kelas tersebut dan amat tersentuh apabila anak muridnya memberi reaksi positif terhadap usahanya itu.

Iklan

"Saya hias bilik darjah itu dalam tempoh cuti sekolah awal tahun ini, apabila murid-murid datang memulakan sesi persekolahan pada Mac lepas, mereka terkejut malah ada yang cakap ‘rasa seperti berada di rumah’ selepas transformasi terhadap kelas tersebut.

"Mereka juga dilihat semakin seronok datang ke sekolah malah nampak lebih bersemangat,” kata alumni Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor itu.

Seperkara yang menarik, Abdullah turut berkongsi semua alat bantu mengajar yang dihasilkan menerusi laman Facebooknya dan diberikan secara percuma kepada guru-guru lain.

"Perkongsian itu tidak terhad kepada guru-guru di sekolah ini, ada juga daripada sekolah lain yang meminta idea atau mahu alat bantu mengajar yang saya hasilkan,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan fizikalnya, Abdullah berkata beliau kehilangan tangan kanan akibat kemalangan selepas kereta dipandunya terjatuh dalam gaung di Bentong, Pahang pada Mac 2018, hanya selepas enam bulan berkhidmat di SK Bangsar.

"Semasa awal dahulu memang ada terlintas mahu berhenti kerana rasa tidak mampu untuk teruskan khidmat sebagai guru kerana kekurangan dialami.

"Namun atas semangat yang diberikan oleh ibu dan ahli keluarga, saya tanam tekad untuk terus berkhidmat apatah lagi apabila dapat bertukar dari SK Bangsar ke SK To’ Uban yang lebih dekat dengan keluarga,” katanya. - Bernama