Ziyad bangga sumbang gangsa buat negara

Iklan
Muhammad Ziyad bersama pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara lontar peluru pada Sukan SEA ke-31 di My Dinh National Stadium, Hanoi semalam. - Foto Bernama

ATLET paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli nyata berbangga dengan pencapaiannya meraih gangsa dalam acara lontar peluru lelaki Sukan SEA Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi semalam.

Dalam perkongsiannya di laman sosial, atlet kelahiran Selangor itu berterima kasih kepada semua pihak yang selalu mendoakan kejayaannya ketika bertanding pada temasya kali ini.

Iklan
Iklan

"Terlahir dari anak istimewa melakar nama menjadi juara, saya gembira atas pencapaian saya di SEA Games kali ini dengan balingan 17.20 meter (m), yang boleh dibanggakan.

"Saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang selalu mendoakan kejayaan saya," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Iklan

Beliau turut bersyukur dengan sokongan berterusan daripada keluarga selain jurulatih, Faizol Harun yang sentiasa memberi semangat untuknya terus melakar kejayaan.

Pada Ahad, Muhammad Ziyad menjadi penyelamat kem olahraga negara ke Sukan SEA ke-31 apabila berjaya menghadiahkan satu-satunya pingat dari acara trek dan padang.

Iklan

Beliau berjaya meraih pingat gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 17.20m di Stadium Nasional My Dinh, hanya kurang 0.09m berbanding rekod 17.29m yang dilakukannya di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

William Morrison III (18.14m) dari Filipina dan Jakkapat Noisri (17.32m) dari Thailand masing-masing meraih emas dan perak, manakala seorang lagi wakil Malaysia Farm Loong Deng menamatkan kempen di tempat keenam dengan lontaran sejauh 16.62m.