Mutu pengadilan punca Everton tewas

Iklan
Lampard. - Foto: Everton Football Club

MUTU pengadilan teruk dilihat menjadi punca kekalahan Everton kepada Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park pada Ahad.

Perkara itu ditegaskan pengendali Everton, Frank Lampard apabila skuad The Toffees terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah dua pemainnya, Jarrad Branthwaite dan Solomon Rondon dilayangkan kad merah masing-masing pada minit ke-18 dan minit ke-88.

Iklan
Iklan

"Kita kehilangan dua pemain, satu di awal perlawanan dan seorang lagi pada lewat perlawanan.

"Selain itu kita juga dinafikan untuk mendapat sepakan penalti walaupun secara jelas, penyerang kita Richarlison dikasari dalam kotak penalti tidak lama selepas gol pertama kita.

Iklan

"Secara kasarnya, apabila berlaku insiden menarik baju dalam kotak penalti, ia jelas merupakan satu kesalahan dan sepakan penalti perlu diberikan kepada pihak yang dikasari, namun itu tidak berlaku dan sekali gus memberikan gambaran mengenai mutu pengadilan yang buruk pada perlawanan kali ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Everton membuka jaringan menerusi Dominic Calvert-Lewin pada minit ke-10, namun Seamus Coleman tertampan bola ke gawang sendiri bagi membolehkan Brentford menyamakan kedudukan pada minit ke-37.

Iklan

Richarlisaon kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan separuh masa pertama sebelum pemain Brentford, Yoane Wissa dan Rico Henry masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-62 dan minit ke-64 bagi mengesahkan kemenangan skuad The Bees itu.

Sementara itu Lampard berkata, keputusan perlawanan mungkin berubah sekiranya sepakan penalti diberikan kepada Everton selepas Richarlison dikasari dalam kotak penalti.

"Kita mungkin boleh memenangi perlawanan ini dan meraih tiga mata berharga sekiranya sepakan penalti itu diberikan.

"Bagaimanapun, ia tidak berlaku dan secara keseluruhannya kita tewas angkara mutu pengadilan,” katanya.