Khalid minta surat jaminan bayar kos ganti rugi 'khayalan'

Iklan
Khalid

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad mempertahankan kenyataan berhubung ganti rugi berjumlah lebih RM150 juta yang perlu dibayar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekiranya projek pembangunan atas tapak Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) dibatalkan.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, dakwaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bahawa kos RM150 juta yang dijangka perlu dibayar sebagai ganti rugi oleh DBKL jika projek tersebut ditarik balik sebagai khayalan semata-mata adalah tidak benar.

Iklan
Iklan

"Saya memahami pendirian yang diambil Hannah dalam membela penduduk di TTDI dalam isu pembangunan Taman Rimba Kiara.

"Sebagai Ahli Parlimen, Hannah hanya menjalankan tugasnya untuk menyampaikan pandangan penduduk di kawasan yang beliau wakili kepada saya selaku Menteri Wilayah Persekutuan, ianya adalah janji yang beliau buat semasa kempen PRU14 lalu," katanya.

Iklan

Beliau berkata, dakwaan bahawa kos RM150 juta yang dijangka perlu dibayar sebagai ganti rugi oleh DBKL jika projek ini ditarik balik sebagai khayalan semata-mata adalah tidak tepat.

"Ini kerana, kos yang saya sebutkan ini adalah kos yang saya difahamkan telah difailkan oleh pihak pemaju ke mahkamah dalam kesnya sebelum ini.

Iklan

"Bagaimanapun saya faham kos yang sebenar hanya akan ditentukan oleh mahkamah," katanya.

Jelas Khalid lagi, kos RM150 juta yang yang disebutkan itu tidak termasuk kos pembinaan rumah untuk kira-kira 100 keluarga penghuni rumah panjang yang telah dijanjikan rumah oleh DBKL lebih 35 tahun lalu.

Dalam masa sama, beliau turut meminta pihak yang mempertikaikan kos berkenaan untuk memberi jaminan akan membayar 'kos khayalan' itu.

"Untuk memudahkan persoalan ini, mereka yang menganggap kos berkenaan hanya khayalan semata-mata bolehlah memberikan satu surat jaminan bahawa mereka akan membayar kos khayalan ini sekiranya DBKL diarahkan berbuat demikian atas sebab penarikan balik arahan pembangunan (DO) ini," katanya.

Hannah sebelum ini menegaskan pendirian tetap tidak bersetuju atas sebarang rancangan projek di Taman Rimba Kiara, TTDI dan mendakwa kos ganti rugi yang perlu dibayar DBKL jika membatalkan projek berkenaan adalah jumlah khayalan.