'Tolong mak cik bawa jenazah Rafie balik'

Iklan
Rafie mengambil gambar di lokasi tertera Coffs Harbour ketika sedang bercuti, baru-baru ini.
SHAH ALAM -"Sepatutnya saya ambil Rafie di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini tetapi tidak sempat... Dia pergi dulu buat selamanya”.

Demikian cerita Zakiah Ibrahim, ibu kepada Mohamad Rafie Abdul Khadir Hatim, 29, pemuda yang meninggal dunia di Coffs Harbour di New South Wales, Australia, malam semalam.

Cerita Zakiah, anaknya ke negara kanggaru itu pada 8 November lalu kerana bercuti bersama rakan.

Bagaimanapun minggu lalu Mohamad Rafie demam dan hilang selera makan.

"Pada mulanya kawan-kawannya menyangkakan Rafie demam biasa. Bila lihat Rafie teruk, dia di bawa ke klinik. Doktor mengesyaki Rafie mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan perlu dirawat di hospital.

"Doktor di klinik itu menasihati supaya Rafie pulang untuk mendapatkan rawatan kerana kos rawatan yang tinggi di sana,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Zakiah berkata, anaknya itu terus membeli tiket pulang dan sempat menelefon adiknya supaya menjemputnya di KLIA, 8 pagi ini.

Bagaimanapun Zakiah berkata, Mohamad Rafie tidak sedarkan diri ketika berehat di rumah rakannya di sana.

"Badan dan muka Rafie pucat. Doktor datang membantu dan mengesahkan Rafie sudah tidak bernyawa.

"Mak cik tak sempat nak tengok dia. Tak sempat nak jaga dia waktu sakit. Segalanya tidak sempat. Beberapa jam lagi dia nak balik tapi ALLAH lebih sayangkan dia,” katanya yang menetap di Batu 7 1/2, Kampung Bukit Datok B, Melaka.

Dalam pada itu, Zakiah memohon bantuan daripada rakyat Malaysia untuk membantu keluarganya membawa pulang jenazah anak kesayangannya itu.

"Setakat ini kami hanya ada RM10,000. Kami perlukan lagi RM15,000 untuk urusan membawa pulang jenazah anak makcik.

"Itu saja cara yang boleh mak cik lakukan untuk menatap wajah anak mak cik buat kali terakhir,” katanya yang juga memaklumkan mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan, Badan Amal.

Orang ramai yang ingin membantu boleh memberi sumbangan menerusi akaun Public Bank: 4673919719 atas nama Zakiah Ibrahim atau menghubungi Kamarul Zahari iaitu sepupu mangsa di talian 012-9775484 untuk sebarang pertanyaan.