JOHOR BAHRU - Bercita-cita mahu membantu golongan kurang upaya (OKU) cacat penglihatan seperti dirinya mendorong Zamri Ishak, 48, bergelar guru.
Zamri yang merupakan guru pendidikan khas masalah penglihatan sudah 22 tahun mengajar di Maktab Sultan Abu Bakar selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya dan Institut Perguruan Guru Raja Melewar, Negeri Sembilan.
Anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini memberitahu penyakit glaukoma yang dialami pada usia 14 tahun menyebabkan dia tidak dapat melihat.
"Saya belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak Kuala Lumpur sehingga Tingkatan Lima sebelum ke Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Lelaki Kuala Lumpur," katanya.
Beliau mengakui bergelar tenaga pengajar bagi pendidikan khas ada cabarannya, namun dengan minat mendalam segalanya dapat diatasi.
"Dunia kini menyaksikan penggunaan teknologi tanpa had. Begitu juga dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang kini banyak dipermudahkan dengan teknologi berbanding 20 tahun lalu.
"Dahulu bahan mengajar perlu ditukar kepada tulisan Braille tetapi kini pertukaran tulisan mudah dilakukan dengan adanya aplikasi tertentu di komputer," katanya.
Menurut Zamri, terdapat 36 pelajar mengalami masalah penglihatan belajar di Tingkatan Satu hingga Lima di Maktab Sultan Abu Bakar.
Mengenai sambutan Hari Guru yang diraikan pada Isnin, Zamri bersyukur kerana dapat bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hafiz Ghazi meraikan hari penuh bersejarah itu di Maktab Sultan Abu Bakar.
Katanya, ucapan Selamat Hari Guru yang dititipkan pelajar cukup bermakna dan amat dihargai.