HFMD: Cari langkah alternatif selain tutup taska

Iklan
Kerajaan perlu memikirkan langkah lebih efektif selain menutup operasi taska bagi mengekang penularan penyakit HFMD

SHAH ALAM - Cadangan penutupan taska, tadika dan pusat jagaan harian sebagai langkah mengawal peningkatan kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan memberikan kesan kepada banyak pihak.

Pengusaha Taska Cahaya Iman, Fazilah Rahman, 48, berkata, selain memberikan kesan kepada pengusaha perkhidmatan berkenaan, penutupan operasi itu juga akan menyusahkan ibu bapa yang bekerja untuk menguruskan anak.

Iklan
Iklan

Fazilah yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perkhidmatan taska berkata, beliau terkesan teruk dengan penutupan operasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan berharap kerajaan tidak menggunakan pendekatan sama dalam mengawal penularan penyakit HFMD.

"Sekarang (fasa peralihan endemik Covid-19), kita tidak lagi bekerja di rumah. Selain itu, kita tinggal di bandar tidak seperti di kampung yang orang tua boleh membantu anak-anak menjaga cucu.

Iklan

"Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah pengusaha taska perlu tingkatkan kebersihan dengan lakukan sanitasi, tidak benarkan anak-anak berkongsi makanan, kepentingan membasuh tangan serta pemakaian pelitup muka," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang akan mengadakan pertemuan khas bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berhubung kemungkinan penutupan taska, tadika dan pusat jagaan harian di negeri itu, susulan peningkatan kes mingguan HFMD.

Iklan

Sehingga 7 Mei, jangkitan HFMD di Selangor berjumlah 6,748 kes dengan kes mingguan melebihi paras amaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Sha’ari Ngadiman berkata, daripada bilangan berkenaan, empat peratus daripadanya dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar.

Fazilah berkata, beliau melahirkan kebimbangan penutupan operasi taska juga akan mengganggu emosi anak-anak yang baru saja dibenarkan ke sekolah setelah hampir dua tahun terperap di rumah.

"Mereka (anak-anak) dah seronok jumpa cikgu dan kawan-kawan tetapi tiba-tiba disuruh terkurung semula di rumah. Taska sebelum ini pun dah lama ditutup tetapi baru saja dibuka kemudian diarah tutup semula, langkah itu tidak logik.

"Penutupan operasi tidak menyelesaikan masalah, kerajaan perlu fikirkan langkah lebih efektif dan kena berpandangan jauh dengan mengambil kira pelbagai faktor sebelum langkah drastik diambil," katanya.

Seorang lagi pengusaha taska, Liza Rashidi, 50, berkata, cadangan itu praktikal bagi kawalan penyakit namun perlu dilakukan secara bersasar.

"Jika sesebuah taska ada kes HFMD melibatkan bilangan yang ramai wajar ditutup sementara atau beberapa hari bagi tujuan pembersihan, bukan seperti dilaksanakan semasa PKP lalu.

"Jika langkah penutupan secara menyeluruh seperti dilakukan semasa PKP lalu saya tidak setuju dan langkah itu tidak wajar. Ia akan memberikan kesan kepada pengusaha juga ibu-bapa bekerja," katanya.

Tambahnya, pengusaha taska telah mengambil langkah perlu bagi kawalan penyakit seperti tidak menerima anak sakit seperti demam ke taska.

"Ibu bapa sedia maklum dengan peraturan tersebut dan kebanyakan daripada mereka memberikan kerjasama yang baik.

"Kami juga buat pemeriksaan fizikal secara berkala bagi memastikan anak-anak yang diasuh berada dalam keadaan sihat. Mana-mana murid yang sakit, kita akan minta penjaga untuk mengambil mereka," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Fara Nurul Amirah Mustaffa, 35, berkata, wanita bekerja sepertinya akan terkesan jika kerajaan mengambil keputusan untuk menutup sementara operasi taska susulan penularan HFMD.

"Jika taska ditutup akan memberi kesan kepada ibu bapa bekerja yang mungkin berdepan masalah untuk mendapatkan cuti bagi menjaga anak-anak di rumah.

"Langkah kawalan HFMD ini perlu ditangani bersama. Ibu bapa yang mengesan anak-anak bergejala perlu ambil tanggungjawab mengasingkan mereka dan tidak menghantar anak ke taska bagi mengelak jangkitan kepada murid lain," katanya.