TAPAH - Seorang warga emas meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika memotong buah sawit di kebunnya di Kampung Pasir Temoh di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa, S Isparani, 61, bersama isterinya keluar ke kebun sawit berhampiran rumah mereka kira-kira jam 9 pagi.
Iklan
Iklan
Menurutnya, ketika sedang memotong kelapa sawit pada jam 12 tengah hari, mangsa tiba terjatuh dan pengsan di tepi lombong berhampiran kebun tersebut.
"Isteri mangsa meminta bantuan anak jiran dan menghubungi pihak Hospital Tapah. Setelah pemeriksaan dibuat, pihak perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia.
"Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan mayat di dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah bagi mengetahui sebab kematian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Wan Azharuddin berkata, berdasarkan keterangan isteri mangsa, Isparani sering mendapat rawatan di Hospital Tapah akibat penyakit jantung.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.