BACHOK - Lebih 40,000 warga pendidik termasuk pengunjung hadir memeriahkan Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok di sini yang berlangsung selama lima hari bermula Khamis hingga Isnin.
Lebih manis, penganjuran FGM yang dikendalikan oleh rakan strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) merupakan kali pertama diadakan secara bersemuka selepas dua tahun Covid-19 melanda negara.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, penganjuran FGM 2022 secara bersemuka amat dinantikan oleh warga pendidik selepas dua tahun berdepan Covid-19 tanpa sebarang program berprestij.
"Peringkat awalnya saya agak risau, namun sebaik sahaja FGM ini bermula jumlah guru termasuk orang ramai yang hadir mula menunjukkan peningkatan dari hari ke hari.
"Alhamdulillah, ia sesuatu yang positif. Berdasarkan kepada rekod yang ada, kita menerima lebih 5,000 pengunjung setiap hari," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Menurutnya, lebih teruja warga pendidik dari seluruh negara telah hadir ke FGM 2022 sekali gus menjadikan sambutan kali ini menjadi lebih bermakna.
Beliau berkata, YGMB selaku rakan strategik KPM menzahirkan pujian kepada seluruh warga pendidik di atas sokongan yang diberikan kepada FGM 2022.
Wan Munadi berkata, sokongan ini menjadi pemangkin kepada YGMB untuk menjadikan FGM lebih meriah pada masa hadapan.
REAKSI GURU
"Sambutan Hari Guru 2022 kali ini sangat meriah selepas dua tahun tidak diadakan secara bersemuka. Semua warga pendidik teruja untuk hadir meraikan sambutan kali ke-51 ini." - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Awang Hepeni
"Alhamdulillah kita sama-sama dapat meraikan sambutan peringkat kebangsaan tahun ini di Kelantan. Lebih bermakna, sambutan ini yang terakhir kerana saya akan bersara wajib pada Jun ini.” - Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II, Labuan, Sabah, Dayang Mohd Yassin
"Sambutan ini sangat meriah kerana melibatkan semua guru dari seluruh negara. Paling menarik guru berpeluang menyampaikan hasrat dan dijawab terus oleh Menteri Kanan Pendidikan." - Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Terengganu, Abu Bakar Muda
"Syukur kerana tahun ini kami semua dapat bersemuka rai Hari Guru. Ia wajib diraikan oleh semua warga pendidik bersesuaian dengan tema tahun ini Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA." - Pengetua SMK Sri Mulia, Kuala Lumpur, Sapura Amat
"Banyak berita baik yang disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan ke arah penambahbaikan sistem pengurusan dan pendidikan serta masalah kekurangan guru." - Pengetua SMK Tasik Damai, Ipoh, Perak, Shamsahhimi Harun
"Saya teruja menyambut Hari Guru kali ini kerana ia julung kali diadakan di Kelantan. Majlisnya teratur, terancang dan mencapai matlamat sebenar penganjuran." - Pengetua SM Agama Al Maad, Arau, Perlis, Idris Ahmad