Jalan pintas elak tragedi Terowong Menora berulang

Iklan
Saarani beramah mesra dengan tetamu yang hadir ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak di pekarangan Pejabat PPPKM negeri, pada Isnin.

IPOH - Kerajaan Perak berharap cadangan pembinaan jalan pintas dari Gopeng ke Kuala Kangsar akan mengurangkan kemalangan maut berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri dan persekutuan sudah pun memberikan kelulusan terhadap pembinaan jalan baharu itu dengan jarak sejauh 64 kilometer (km).

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembinaan jalan tersebut tidak melibatkan peruntukan kerajaan sebaliknya dilaksanakan oleh syarikat swasta.

"Tujuan asal pembinaan laluan bahari itu untuk kita mengurangkan kemungkinan kemalangan di terowong itu kerana pertama tak ada bukit, kedua tak ada kesesakan di situ dan kawasan curam.

Iklan

"Jadi apabila kurangnya kesesakan itu, ia akan mengurangkan jumlah kemalangan, jadi kita sedang menunggu syarikat berkenaan untuk memulakan pembinaan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak di pekarangan Pejabat PPPKM negeri, di sini pada Isnin.

Saarani berkata, kelulusan yang diberikan pada April lalu dan difahamkan syarikat tersebut sedang mendapatkan dana bagi melaksanakan pembinaan laluan itu.

Iklan

Menurutnya, syarikat berkenaan diberi tempoh selama dua tahun untuk memulakan pembinaan laluan itu dan selepas dana diperoleh, urusan pengambilan tanah akan dilakukan.

Pada 12 Mei lalu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang menaiki sebuah kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

Beberapa video kejadian itu dikongsi pengguna lebuh raya di media sosial menunjukkan keadaan api marak disusuli beberapa letupan.

Dalam perkembangan lain, Saarani ketika program mengumumkan peruntukan RM250,000 kepada PPPKM negeri dan daerah.

Katanya, pemberian tersebut merupakan dana Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak untuk membantu peniaga kecil yang berdepan cabaran akibat pandemik.