NUJM gesa kerajaan angkat hak petugas media

Iklan
Kesatuan itu turut menzahirkan kekesalan terhadap sikap semua pihak berkaitan yang memandang enteng isu keselamatan petugas media ketika berada di lapangan. - Foto 123rf

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menggesa agar kerajaan segera mengangkat hak petugas media.

NUJM dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, selain itu, sebuah majlis media yang mewakili semua organisasi yang inklusif dan bebas juga perlu ditubuhkan dengan segera.

Iklan
Iklan

Kesatuan itu turut menzahirkan kekesalan terhadap sikap semua pihak berkaitan yang memandang enteng isu keselamatan petugas media ketika berada di lapangan.

"Gangguan dan halangan terhadap tugas media bukanlah suatu isu baharu, sebaliknya setiap kali berlaku kejadian tidak diingini, tiada pihak mahupun kementerian bertanggungjawab yang berani tampil membantu atau memperjuangkan nasib kami.

Iklan

"Apakah semua pihak hanya berpeluk tubuh dan menunggu sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada petugas media?

"Sebelum tindakan tegas diambil atau undang-undang digubal bagi melindungi petugas media yang menjalankan tugas berasaskan prinsip etika kewartawanan,” tegasnya.

Iklan

Pada Sabtu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan cuba menghalang wartawan sebuah portal berita untuk membuat liputan berkenaan situasi di kaunter imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC), di Pudu Sentral yang sesak dengan orang ramai.

Ketika menjalankan tugas, kedua-dua wartawan telah diganggu dan diugut oleh pengawal keselamatan yang bertugas di premis tersebut.

Bagaimanapun pada Isnin, pihak polis telah membuat keputusan tiada unsur jenayah dalam gangguan dan kekasaran yang dialami oleh wartawan berkenaan.

Polis juga tidak akan mengambil tindakan lanjut dan pengadu boleh membawa perkara itu kepada majistret jika mereka memutuskan untuk meneruskan saman sivil.

Justeru, NUJM mengingatkan, sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mengancam atau melakukan keganasan fizikal dan lisan kepada petugas media, dikhuatiri perkara sama akan terus berulang.

"Media adalah suara dan nadi rakyat, oleh itu, menghalang petugas media daripada melaporkan isu yang membabitkan kepentingan negara dan masyarakat adalah sama seperti menidakkan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat,” ujarnya.