GEORGETOWN- Laluan bawah pejalan kaki di Tembok Laut Padang Kota Lama ditutup sementara untuk orang awam berikutan berlaku air laut pasang yang mencapai ketinggian melebihi kawasan tersebut.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataannya berkata, penutupan itu dibuat bermula petang Isnin.
"Pasukan penguat kuasa MBPP mengadakan kawalan keselamatan dan tidak membenarkan orang awam berada di laluan bawah pejalan kaki Tembok Laut Padang Kota Lama kerana air laut pasang.
"Orang awam dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan bawah dan elak berada di tepi Tembok Laut Padang Kota Lama ketika air laut pasang tinggi untuk keselamatan," katanya.
Orang awam boleh mendapatkan maklumat mengenai fenomena air laut pasang surut di laman sesawang Stesen Tolok Air Pasang Surut Malaysia (STAPS) https://www.jupem.gov.my/staps/stesen-pulau-pinang-1.
Jumaat lalu, Tembok Laut Padang Kota Lama dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti beriadah.
Projek yang menelan belanja RM12.9 juta itu merupakan inisiatif menaik taraf kawasan tersebut bagi menyediakan ruang awam berkualiti yang boleh diterima, menarik dan inklusif untuk semua pihak.
Ia dijalankan berdasarkan kajian secara menyeluruh selain ciri-ciri keselamatan di kawasan sekitar diutamakan.
Pembangunan jajaran tembok laut itu termasuk ruang pejalan kaki adalah sepanjang kira-kira 570 meter dari Medan Selera Renong ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia.
Keseluruhan kos projek tersebut dibiayai MBPP namun kerajaan Pulau Pinang menyumbang kos tambahan RM1.4 juta untuk projek Linear Garden yang akan dimulakan tahun ini oleh MBPP.