SETELAH 11 tahun kemarau pingat, skuad berbasikal bukit wanita negara memperagakan kayuhan bertenaga untuk menghadiahkan dua pingat pada Sukan SEA ke-31 di sini hari ini.
Bersaing dalam acara Cross Country Olympic sejauh 15.6km di Wilayah Hoa Binh, kira-kira 75km dari sini, Juara Wanita Kebangsaan Nur Assyira Zainal Abidin menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk menyumbangkan pingat perak selepas mencatat masa satu jam 22 minit dan 14 saat.
Rakan senegara, Natahsya Soon menyusur di tempat ketiga untuk meraih gangsa setelah menamatkan saingan dengan catatan 1:23:00 saat pada perlumbaan sejauh 15.6km itu yang dimenangi pelumba tuan rumah Thi Nhu Quynh Dinh dengan masa 1:18:06s.
Seorang lagi pelumba negara, Phi Kun Pan menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 selepas merekodkan masa 1:33:44s.
Sementara itu, tiga pelumba berbasikal bukit lelaki negara gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga pelumba terbaik dalam perlumbaan yang berlangsung petang tadi.
Pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan sejauh 20.8km itu adalah Ahmad Syazrin Awang Illah yang menamatkan cabaran di kedudukan kelapan dengan catatan 1:24:14s, manakala Muaz Abd Rahim di tempat ke-12 (1:27:27s).Zulfikri Zulkifli pula berada di kedudukan tercorot dalam kalangan 18 pelumba apabila ketinggalan satu pusingan daripada empat pusingan perlumbaan.
Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata pencapaian kedua-dua pelumba berkenaan adalah sesuatu yang membanggakan setelah sekian lama skuad basikal bukit negara gagal menghadiahkan pingat pada temasya Sukan SEA.
"Nur Assyira berjaya menepati ramalan untuk menyumbangkan pingat kepada Malaysia. Kita juga bangga Natashya juga telah mengharumkan nama negara dengan pingat gangsa.
"PKBM teruja dengan kejayaan ini selepas 11 tahun tanpa kilauan pingat,” katanya bahawa kali terakhir skuad berbasikal bukit wanita negara menyumbangkan pingat iaitu gangsa pada temasya edisi 2011 di Indonesia. - Bernama