Pemilihan PKR Cabang Port Dickson turut kecoh

Iklan
Halim (empat dari kiri) dan Ravi (lima dari kiri) bersama calon PKR Cabang Port Dickson serta ahli parti menyatakan bantahan terhadap Pemilihan PKR 2022.

PORT DICKSON - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Port Dickson turut kecoh susulan dakwaan berlaku penipuan di pusat pengundian fizikal di Dewan Serbaguna Bandar Springhill di sini, pada Isnin.

Tiga calon Ketua Cabang iaitu Timbalan Pengerusi PKR, Datuk M Ravi; Datuk Halim Khomiza dan Sivalinggam sepakat membantah Pemilihan PKR Cabang itu.

Iklan
Iklan

Mereka mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon Ketua Cabang Port Dickson telah memanipulasi pemilihan itu dan menyalahgunakan kuasa.

Menurut Ravi, Aminuddin yang belum dilantik sebagai Ketua Cabang dilihat seolah-olah menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Iklan

"Sepatutnya apabila pemilihan parti diadakan, saya sebagai mantan Ketua Cabang akan diberi taklimat oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan apa saja urusan untuk pemilihan ini saya yang uruskan, tetapi sebaliknya berlaku.

"Tapi saya dipinggirkan kali ini dan diberitahu yang semuanya telah diuruskan Menteri Besar. Beliau belum lagi menang sudah anggap diri sebagai Ketua Cabang," katanya.

Iklan

Beliau mendakwa, petugas di pusat pengundian itu juga dalam kalangan 'orang' Aminuddin yang sepatutnya tidak dibenarkan.

"Pemilihan itu adalah pertandingan keluarga dan tidak sepatutnya ada isu salah guna kuasa dan unsur rasuah," dakwanya.

Halim pula berkata, sepatutnya semua pihak diberi keadilan sama rata dan bukannya hanya individu tertentu.

"Saya nampak pemilihan kali ini berlaku satu penipuan dan memanipulasi terhadap undian.

"Kita dari parti Keadilan, sepatutnya elakkan berlaku perkara ketidakadilan. Pengarah JPP, tolong ambil perhatian terhadap bantahan dilakukan," katanya.

Sementara itu Aminuddin ketika ditemui media di lokasi berkata, pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat bantahan dan aduan kepada JPP.

"Bantahan boleh dibuat. Kita tunggu keputusan dan saya terbuka. Tapi kita hormati demokrasi. Kita tahu dalam pemilihan ini ada 'panas' sikit, tapi perlu hormati proses pemilihan diadakan.

"Cuma ada beberapa faktor, yang digantung dari parti itu, tak perlulah datang kerana mereka tak layak mengundi. Janganlah buat kacau," katanya.