KEMALANGAN meragut nyawa lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kilometer 245.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Terowong Menora baru-baru ini amat menyedihkan.
Lebih-lebih lagi insiden berlaku ketika kita masih dalam mood hari raya.
Dalam kejadian itu, kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah treler muatan pagar besi dipandu seorang lelaki yang tidak sempat membrek. Pemandu treler berusia 28 tahun itu direman sehingga Rabu.
Berdasarkan siasatan polis, pemandu treler tersebut didapati mempunyai 22 saman.
Daripada jumlah itu, 21 saman telah dibayar termasuk lapan saman kesalahan pandu laju.
Punca sebenar kejadian dan sama ada pemandu tersebut bersalah atau tidak, Merak Jalanan serahkan kepada siasatan polis yang lebih arif.
Merak Jalanan tidak mahu ulas panjang.
Cuma dalam kes kemalangan berpunca daripada kenderaan berat, ini bukanlah pertama kali berlaku.
Merak Jalanan banyak mendengar berita kemalangan melibatkan kenderaan berat sama ada meragut nyawa atau tidak.
Biasanya orang akan menyalahkan pemandu kerana memandu melulu atau cuai.
Dalam perkara ini, Merak Jalanan akui ada kebenarannya.
Namun begitu, pemandu tersebut hanyalah seorang pekerja.
Bagi Merak Jalanan, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan terhadap tauke syarikat pemilik kenderaan berat tersebut.
Merak Jalanan dapat tahu, ada tauke syarikat pemilik yang ambil mudah hal ehwal penyelenggaraan kenderaan berat mereka sehingga berada atas jalan raya dalam keadaan tidak selamat.
Mereka berbuat demikian kerana tidak mahu mengeluarkan kos yang banyak untuk menyelenggarakan kenderaan. Asal boleh buat duit, jalan terus.
Cuma Merak Jalanan hairan, kadang-kadang kenderaan itu sudah jelas nampak uzur di jalan raya, tapi masih boleh lulus pemeriksaan di Puspakom.