Piala Thomas: Malaysia kurang pemain perseorangan berbakat

Iklan
Zii Jia menjadi sandaran utama dalam acara perseorangan dalam kempen Piala Thomas kali ini.

KEKURANGAN pemain berbakat terutamanya dalam acara perseorangan dilihat menjadi punca Malaysia gagal menamatkan kemarau 30 tahun trofi Piala Thomas.

Perkara tersebut diakui bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim yang melihat Malaysia terlalu bergantung kepada pemain nombor lima dunia, Lee Zii Jia dan beregu untuk menyumbang mata pada Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand.

Iklan
Iklan

Jelasnya, pasukan Malaysia perlu melihat masalah tersebut dengan serius memandangkan isu ini bukanlah satu perkara yang baru dalam arena sukan badminton tanah air.

"Isu ketandusan pemain perseorangan ini bukanlah benda baharu sebagaimana yang terjadi semasa zaman Datuk Lee Chong Wei dan kini ia diteruskan Zii Jia.

Iklan

"Kalau acara individu mungkin kita boleh berbangga kerana kita ada pemain-pemain berkualiti, tetapi ini acara berpasukan.

"Kalau lihat India yang memenangi edisi kali ini, boleh saya katakan pasukan mereka agak stabil, jurang perbezaan antara perseorangan pertama dan kedua tidak ketara termasuk juga beregu.

Iklan

"Jadi saya rasa, kalau masalah ini tidak dapat diatasi agak susah untuk Malaysia mencabar kejuaraan pada pada masa akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Sebelum ini, hasrat Malaysia untuk menamatkan kemarau Piala Thomas tidak kesampaian apabila tewas 3-1 di tangan India pada peringkat suku akhir yang berlangsung di Bangkok Thailand.

Kekalahan tersebut menyaksikan kemarau Piala Thomas Malaysia berterusan dengan kali terakhir memenanginya pada tahun 1992.

Sejak itu, pencapaian terbaik skuad negara adalah empat kali muncul naib juara pada edisi 1994 di Jakarta, Indonesia, 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou, China dan 2014 di New Delhi, India.

Dalam pada itu, Roslin turut berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berlaku adil dalam soal pemilihan pemain yang menyertai kejohanan badminton berpasukan tertua di dunia itu kelak.

"Seharusnya BAM selepas ini memberi ruang buat lebih banyak pemain profesional bersama dalam skuad dan bukan pemain BAM sahaja kalau mereka ada potensi lebih baik.

"Pada edisi kali ini, BAM seolah tidak berlaku adil kepada Soong Joo Ven dan Cheam June Wei yang pada hemat saya lebih baik daripada beberapa pemain persatuan itu senaraikan.

"Kalau boleh diberi peluang kepada Liew Darren dan Zii Jia kenapa tidak mereka.

Jangan disebabkan ego akhirnya yang rugi adalah negara kita sendiri,” jelasnya.