KOTA BHARU - Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyangkal segala dakwaan yang dilontarkan oleh Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa berkaitan kegagalan telaga jejari dan perlaksanaan Loji Rawatan Air (LRA) adalah tidak benar.
Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Pengurus Besar AKSB dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, telaga jejari LRA di Merbau Chondong berjaya beroperasi mengikut reka bentuknya sehingga mampu mengeluarkan sebanyak 17 juta liter air sehari (JLH)
"Begitu juga dengan telaga jejari untuk LRA Wakaf Bharu beroperasi pada kadar 24 JLH. Bagi meningkatkan pengeluaran LRA Wakaf Bharu, air mentah tambahan diperolehi dari telaga tiub dan bukannya air sungai sebagaimana yang didakwa.
"Telaga jejari untuk LRA Kampung Chap beroperasi pada kadar 11 JLH, begitu juga dengan dua telaga jejari Kampung Telok yang berjaya beroperasi pada kadar reka bentuknya iaitu sebanyak 32 JLH," katanya.
Bagaimanapun, menurutnya ketika ini telaga jejari Kampung Telok hanya berupaya menghasilkan air terawat sebanyak 10 JLH sahaja yang menepati piawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, dakwaan telaga jejari di LRA Kampung Telok tidak ada air adalah tidak benar sama sekali kerana ia menggunakan sistem rawatan air ozon selain turut menafikan tuduhan pemasangan sistem rawatan air Chemiles di LRA Kampung Chap, LRA Taman Telok Mesira dan LRA Meranti Baru sebaliknya, ia hanya dipasang di LRA Kampung Chap serta LRA Meranti Baru.
"Sistem rawatan air yang dipasang di LRA Taman Telok Mesira adalah sistem NR Cavitation. Sistem ini NR direkabentuk oleh sekumpulan saintis tempatan yang berpangkalan di Pengkalan Chepa.
"Sistem ini telah dikategorikan sebagai projek perintis oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. Pembangunan LRA Taman Telok Mesira dan LRA Meranti Baru telah dibuat secara rundingan terus oleh AKSB kerana sistem NR Cavitation dan Chemiles adalah hak mutlak syarikat-syarikat yang dilantik," katanya.
Dalam pada itu AKSB turut menjelaskan, segala cadangan pelantikan secara rundingan terus ini telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Kelantan.
"Tuduhan sistem rawatan air Chemiles di LRA Kampung Chap gagal juga tidak benar. Hal ini kerana loji ini telah beroperasi sejak tahun 2015.
"Kerosakan di loji yang mula dikesan pada tahun 2020 iaitu selepas beroperasi selama lebih lima tahun, merupakan keperluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan ke atas loji tersebut. Tuduhan kontraktor yang gagal dalam pembangunan LRA Kampung Chap dilantik oleh AKSB untuk pembangunan LRA Meranti Baru juga tidak benar," ujarnya.
Sementara itu, AKSB menjelaskan, ketika ini pihaknya sedang giat melaksanakan projek yang telah diluluskan pinjaman oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) bagi tempoh operasi 2021-2023 untuk meningkatkan bekalan air terawat kepada pengguna-pengguna AKSB.
Katanya, ia melalui pelaksanaan program pengurangan air tak terhasil (non-revenue water - NRW) dan pembangunan fasiliti perkhidmatan bekalan air awam terawat yang baharu.