ARAU - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah kemajuan tidak dapat dicapai sekiranya amalan rasuah berleluasa dalam kehidupan seharian masyarakat.
Baginda bertitah, perbuatan seperti meminta, menawar, memberi dan menerima rasuah adalah salah di sisi agama dan undang-undang negara.
Iklan
Iklan
"Amalan rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial dan seterusnya boleh mengancam kesejahteraan negara,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-79 di Istana Arau, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan barisan exco kerajaan negeri.
Seramai 325 penerima anugerah darjah kebesaran negeri Perlis sempena ulang tahun keputeraan ke-79 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin.
Baginda berkenan menganugerahkan darjah-darjah kebesaran itu kepada 22 orang penerima hari ini, manakala 303 orang lagi akan menerima anugerah mereka dalam majlis pada hari lain. - Bernama