MELAKA - Kerajaan negeri belum ada keperluan untuk menutup Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Melaka biarpun kes kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mencatatkan peningkatan.
Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Kalsom Nordin berkata, penutupan akan dilakukan sekiranya pihak Jabatan Kesihatan Negeri mengeluarkan arahan tersebut bagi mengekang penularan penyakit itu.
Menurutnya, setakat ini Melaka masih kekal menutup 11 tadika dan taska disebabkan HFMD termasuk mengenal pasti 13 kluster berpunca daripada penyakit berkenaan.
"Setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak akan menutup mana-mana pusat tadika atau taska di negeri ini selain menerima arahan dari KKM sendiri.
"Jika KKM memberi arahan baharu kita akan membuat penutupan dan sebagainya," katanya ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan program Keselamatan dan Kesihatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada Selasa.
Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan kes HFMD di Melaka mencatatkan peningkatan dari 95 kes pada tahun lalu kepada 977 kes dalam tempoh sama tahun ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Rusdi Abd Rahman dilaporkan berkata, bagaimanapun situasi HFMD di Melaka masih terkawal namun ibu bapa perlu berwaspada termasuk mengetahui tanda-tanda HFMD pada anak-anak.
Menurutnya, 13 kluster dilaporkan termasuk lima di tadika, empat kes membabitkan taska dan masing-masing dua di pusat jagaan serta dua rumah persendirian.
Katanya, arahan penutupan 11 buah premis membabitkan tujuh premis di daerah Jasin, tiga premis di Melaka Tengah dan sebuah premis di Daerah Alor Gajah dilakukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.