BALING - Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar yang dibuka pada Isnin ditutup sepenuhnya pada jam 9.30 pagi Selasa.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, kesemua 28 mangsa dari enam keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan dibenarkan pulang selepas keadaan banjir surut sepenuhnya.
Iklan
Iklan
Menurutnya, cuaca kembali cerah dan penduduk bersedia pulang ke rumah setelah didapati keadaan selamat untuk diduduki.
"PPS tersebut dibuka pada jam 8.10 malam Isnin selepas rumah mereka di Kampung Padang Setol dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat selama beberapa jam.
"Situasi itu menyebabkan beberapa tempat dinaiki air kemungkinan dari sistem perparitan yang tidak teratur serta paras air sungai yang meningkat ke tahap bahaya," katanya.
Beliau turut menasihati penduduk agar sentiasa berwaspada dan segera mengikuti arahan pihak berkuasa selain mengikuti perkembangan keadaan cuaca dari masa ke masa.
"Pemantauan sentiasa dilakukan dan kami berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan," jelasnya.