'Kalah berturut-turut tidak bermakna BN mudah tawan Putrajaya'

Iklan
Saifuddin Nasution

GOMBAK - Kekalahan berturut-turut Pakatan Harapan (PH) di empat negeri tidak bermakna BN boleh menang mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menawan Putrajaya.

Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menangkis andaian yang dibuat oleh sesetengah pihak itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kekalahan di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor itu banyak memberikan pengajaran bermakna kepada parti itu untuk bangkit.

Justeru katanya, PKR perlu optimis dan tidak mudah menyerah kalah selari dengan slogan membujur lalu melintang patah dan lawan tetap lawan.

Iklan

"Kita pernah rasa banyak kalah daripada menang, setiap kali kalah kita bangun dengan lebih bergaya.

"Kalau orang rasa kekalahan berterusan ini seperti gelap malam maka percayalah apabila malam semakin pekat, itu menandakan fajar semakin dekat, ada cahaya yang akan menggantikan kegelapan itu," katanya ketika berucap pada Rapat Mega Kita Semua Keadilan Cabang Gombak di pejabat Penyelaras Parlimen Gombak di Taman Samudera di sini pada malam Isnin.

Saifuddin (tengah) bersama jawatankuasa PKR Cabang Gombak.

Iklan

Turut hadir, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Jelasnya, PH menerima segala mesej yang disampaikan oleh rakyat dan akan digunakan dalam mempersiapkan parti menghadapi PRU15.

"Kita akan selesaikan rundingan kerusi dalam PH, semakan data dan persiapkan parti menerusi polisi daripada analisis data yang menjadi kekuatan dalam parti.

"Kita akan tapis calon-calon yang ada dan membuat pilihan yang terbaik. Kemudian akan susun satu tawaran manifesto, skrip dan naratif untuk kempen serta segera berjumpa rakyat bagi sesi penerangan secara berterusan," tambahnya.

Katanya, gerak kerja menghadapi PRU15 itu akan dilaksanakan sejurus selesai Pemilihan PKR 2022 yang dijadualkan berakhir pada 22 Mei depan.