BAKAL berdepan pelari muda sensasi Thailand, Puripol Boonson pada acara 100 meter (m) Sukan SEA esok, tidak sedikit pun melunturkan semangat Muhammad Azeem Fahmi.
Malah, pelari pecut berusia 18 tahun yang dikenali dengan julukan 'Usain Bolt Malaysia' itu, berkata kehadiran Puripol, 16, membakar lagi semangatnya untuk menampilkan aksi lebih baik di Stadium Nasional My Dinh di sini.
"Saya ingatkan saya paling muda di Sukan SEA, tetapi muncul pula dia. Secara jujurnya, kita tahu dia seorang atlet muda yang sangat berbakat dan ini merupakan satu cabaran yang baik untuk saya supaya tidak berada dalam keadaan selesa, sebaliknya terus berlatih untuk bersaing dengannya.
"Dia memang laju, tetapi untuk memenangi acara 100m ini macam-mana boleh berlaku. Dalam masa yang singkat iaitu kurang daripada 10 saat (s) kita boleh lihat macam-macam berlaku, jadi hanya yang terbaik akan menang,” katanya.
Puripol yang digelar sebagai ‘Thai Wonderkid’ itu, mencetus sensasi dalam acara trek Sukan SEA kali ini, apabila berjaya meleburkan rekod temasya bagi acara 200m lelaki sebanyak dua kali pada Sabtu lepas.
Atlet itu memecahkan rekod 20.69s berusia 23 tahun milik rakan senegaranya, Reanchai Seeharwong yang dicatatkan pada Sukan SEA Brunei 1999, pada Saringan 1 dengan catatan 20.41s sebelum muncul juara dengan rekod 20.37s.Sementara itu, Muhammad Azeem yang menyertai temasya dwitahunan itu buat kali pertama, berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi pada acara esok, tetapi menyasarkan untuk mara ke final dan memperbaiki catatan masa terbaik peribadi 10.37s yang dilakukan semasa kejohanan KL All-Comers, Mac lepas.
Beliau juga mahu meneruskan rentak kejayaan ketika membantu kuartet 4x100m lelaki mempertahankan pingat perak dengan rekod kebangsaan baharu bagi acara 100m.
"Ketika acara 4x100m, saya berada pada prestasi terbaik, mungkin ada sedikit perlu diperbaiki pada permulaan. Harap semuanya berjalan lancar dan memohon agar rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya,” katanya.
Semalam, Muhammad Azeem tampil selaku pelari pertama kuartet 4x100m, yang turut dibarisi Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail dan juara bertahan acara 100m lelaki Muhammad Haiqal Hanafi, berjaya mencipta rekod kebangsaan baharu dengan 39.09s.
Catatan itu berjaya meleburkan rekod terdahulu 39.27s yang dicatatkan oleh kuartet Nixson Kennedy, Muhammad Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan dan Russel Alexander Nasir Taib pada Sukan SEA 2019 di Filipina.
Seorang lagi pelari pecut yang menjadi taruhan Malaysia pada acara reben biru itu esok, adalah Muhammad Arsyad. - Bernama