SEPANG - Tindakan seorang wanita yang cuba mengambil suami dan rakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang baru tiba di kawasan berhampiran Ladang Tumbuk, di sini selepas menceroboh perairan negara memakan diri selepas diberkas, pada Isnin.
Difahamkan, wanita warga asing yang telah berada di dalam negara itu datang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia untuk membawa suaminya dan PATI lain ke lokasi yang ditetapkan.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA), Deputi Superintendan Salehin Suleiman berkata, Op Nyah sepasukan anggota Batalion 6 PGA bersama Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) kira-kira jam 6 pagi itu berjaya menahan 10 PATI termasuk wanita terbabit.
Menurutnya, turut ditahan adalah seorang tekong darat warga tempatan.
"Pemeriksaan mendapati kesemua warga asing berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan masuk ke negara ini melalui jalan laut dengan menaiki bot dari Indonesia.
"Kereta Perodua Axia milik wanita terbabit juga telah dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua tangkapan berusia 31 hingga 41 tahun telah dibawa ke Balai Polis Sungai Pelek untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti penyeludupan Migran 2007 (Atipsom) serta Akta Imigresen 1959/63.
Justeru, PGA menyeru kepada masyarakat agar dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi mengekang kemasukan PATI.
"Orang ramai boleh hubungi talian hotline 06-9866121 ext 3030 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 6 PGA untuk tindakan lanjut," ujarnya.