Operasi SAR cari petunjuk kesan mangsa di Gunung Suku

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai penemuan bahagian kedua badan manusia oleh pasukan penyelamat dalam operasi mencari dua pendaki yang hilang dihanyutkan kepala air di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai pada Ahad.

IPOH - [DIKEMAS KINI] Petunjuk seperti hurungan lalat dan bau di sekitar kawasan kejadian antara fokus operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita dipercayai dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, Ahad lepas.

Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Umrani Che Mat berkata, operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini lebih memfokuskan kepada kawasan pencarian melibatkan laluan air daripada bawah hingga atas dianggarkan sejauh satu kilometer di kawasan kejadian.

Iklan
Iklan

"Operasi gerak kerja hari ini lebih kepada penggunaan peralatan seperti cangkul dan skop. Ini kerana kita mengesyaki mangsa terlibat berada di bawah lumpur dan juga timbunan kayu dibawa kepala air berdasarkan kepada pemerhatian pasukan penyelamat yang menemukan sebahagian anggota badan mangsa berada di bawah lumpur dan timbunan kayu.

"Bagaimanapun, sehingga kini pasukan penyelamat masih belum mendapat sebarang petunjuk (penemuan mayat)," katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Pos Atap Baru di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Iklan

Beliau berkata, 63 anggota penyelamat terlibat dalam operasi itu terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Persatuan Malim Gunung Negeri Perak, Unit Komunikasi RCRC Cameron Highlands serta Pertubuhan Bantuan Perubatan Kecemasan (TEMS).

Semalam, pasukan SAR menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.

Iklan

Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Muhammad Shahrizal Aris dilapor berkata, anggota badan itu ditemukan di lokasi berbeza dari lokasi sebelah kaki ditemukan petang Ahad yang mana anggota badan itu ditemukan di kawasan bawah manakala kaki dijumpai di kawasan air terjun iaitu di kawasan atas.

Pada Ahad, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46.

Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira 5 pagi, sekumpulan 29 pendaki gunung telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan arus deras. - Bernama