Nahas lima rentung: Pemandu treler mengaku tidak bersalah

Iklan
Pemandu treler mengaku tidak bersalah memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian lima pelajar USAS, minggu lalu.

KUALA KANGSAR - Pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Khamis lalu.

Tertuduh, Mohammad Amirul Aznizam Razali, 28, membuat pengakuan itu selepas kesemua lima pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia yang memandu treler jenis Volvo didakwa telah memandu kenderaan tersebut dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian ke atas Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara - Selatan arah utara kira-kira jam 1 pagi pada 12 Mei lalu.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 selain butiran kesalahan diendors pada lesen memandu jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu ditahan.

Iklan

Tertuduh diwakili peguam G Ravishankar memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan anak guamnya sudah memberikan kerjasama yang baik selain hilang sumber pendapatan serta perlu menyara isteri dan tiga anak berusia 14, 10 dan 2 tahun.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. Tertuduh membayar jaminan berkenaan.

Media melaporkan, lima pelajar USAS maut setelah kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.

Dalam kejadian itu, kesemua pelajar terbabit rentung selepas kereta dan treler muatan besi pagar yang melanggar dari belakang itu terbakar kira-kira 90 peratus.