BESUT - Pembinaan Lebuhraya Panta Timur Fasa 3 (LPT3) wajar dipercepatkan kerana diharapkan dapat meningkatkan kedatangan pelancong tempatan ke Pulau Perhentian dan kawasan pelancongan menarik di negeri ini.
Pengusaha bot pelancong dan agensi pelancongan Pulau Perhentian, Mohd Khursani Ab Manaf berkata, pembinaan lebuhraya baru itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk Terengganu dan Kelantan tetapi sepatutnya menarik minat lebih ramai penduduk pantai barat berkunjung ke sini.
Menurutnya, diharapkan ia akan meningkatkan kedatangan pelancong tempatan ke pulau itu bagi mengimbangi kedatangan pelancong luar negara yang merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kedatangan pelancong luar negara ke pulau ini semakin susut sejak beberapa tahun lalu dan langkah kerajaan menaikkan bayaran masuk ke Taman Laut daripada RM5 terus kepada RM30 untuk setiap pelancong asing dikatakan antara punca.
"Walaupun bayaran tersebut dikatakan rendah berbanding mata wang mereka, tetapi mereka perlu mengeluarkan kos-kos lain seperti tambang bot pergi balik RM70 dan tidak termasuk penginapan.
"Asas rungutan mereka ialah apa yang diperolehi mereka di pulau itu tidak setimpal dengan apa yang dibayar,” katanya.
Sehubungan itu beliau berharap dengan adanya LPT3 yang akan memendekkan masa perjalanan sekaligus menggalakkan lagi kedatangan pelancong domestik ke pulau ini seterusnya dapat merancakkan kembali industri pelancongan di sini.
Menurutnya, ramai penduduk tempatan seperti Pulau Perhentian dan Kuala Besut bekerja dalam sektor pelancongan seperti pemandu bot, mengusahakan calet atau bekerja di resort.