MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri Melaka tidak membenarkan sebarang aktiviti berkaitan minuman keras secara terbuka terutama di kawasan tumpuan pelancong seperti, Jonker Walk.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menghalang sekiranya pihak penganjur mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) namun mesti diadakan secara tertutup supaya tidak menyentuh sensitiviti pelbagai agama bukan sahaja rakyat beragama Islam.
Menurutnya, kerajaan negeri Melaka tidak pernah terlibat dalam penganjuran program yang telah diadakan setiap tahun sejak tiga tahun lalu dan menggesa pihak penganjur lebih berhati-hati agar kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.
Katanya, lokasi Jonker Walk juga tidak pernah dikhaskan hanya untuk kaum tertentu sahaja, dan ia merupakan destinasi menarik dan kerajaan negeri turut giat menjalankan promosi di tempat tersebut.
"Ia harus diadakan secara tertutup, bukan di depan gereja yang bukan sahaja orang Islam membuat aduan malah pihak gereja.
"Saya juga telah berhubung dengan penganjur dan beliau meminta maaf dan akan mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak berulang lagi," katanya ketika sidang media di Bahagian Promosi Pelancongan negeri, Kota Cemerlang, Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Tambahnya, insiden berkenaan tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke Melaka dan menjangkakan kehadiran pelancong domestik dan luar negara terus bertambah bersempena cuti persekolahan dan Tahun Melawat Melaka 2019.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Jailani yang juga ADUN Rumbia berkata, beliau meminta sebarang program penganjuran swasta terutamanya, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada wakil kerajaan negeri untuk menggunakan gambar mahupun nama mereka.
Menurutnya, ini penting untuk menggelakkan sebarang kekeliruan dan bukan satu permintaan yang angkuh, namun supaya ia tidak sewenang-wenangnya menggunakan gambar wakil-wakil rakyat hinggakan rakyat menganggap bahawa ia adalah penganjuran kerajaan negeri dan jika berlaku permasalahan kerajaan negeri akan dipersalahkan.
Katanya pihaknya terkilan apabila kerajaan negeri turut terpalit dengan insiden penipuan pertandingan memancing di Pantai Siring, Serkam sedangkan ia bukanlah anjuran kerajaan negeri dan pihak penganjur perlu menyelesaikan masalah berkenaan secara tuntas.
"Mintalah kebenaran untuk guna pakai nama atau portfolio kami, kami tahu mungkin tujuannya promosi atau sokongan dan kami berterima kasih.
"Namun bila berlaku kejadian seperti itu kami dipersalahkan sedangkan kehadiran kita untuk memberikan sokongan dan saya hanya memberikan sedikit sumbangan bagi melancarkan perjalanan program tersebut yang diadakan di Pantai Siring," katanya.