PASIR GUDANG - Pasar Raya Econsave mengalami kekurangan antara 20 hingga 30 peratus bekalan tepung gandum bersubsidi di semua 87 cawangannya seluruh negara.
Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, kekurangan tersebut disebabkan pembekal tidak dapat menghantar bekalan disebabkan cuti panjang sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
"Selain itu pembekal juga mengalami masalah ketiadaan bekalan tepung gandum sejak awal Mei lalu.
Walaupun negara kita tidak mengimport tepung dari India tetapi bekalan tepung gandum terjejas.
"Kita mengimport bekalan tepung gandum kira-kira 80 peratus dari Australia dan hanya sedikit dari Ukraine, sepatutnya kita tidak mempunyai masalah dengan bekalan tepung gandum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau bekalan tepung gandum di Pasar Raya Econsave Taman Scientex di sini pada Rabu.
Mas Imran berkata, setakat ini hanya terdapat bekalan untuk tepung gandum tidak bersubsidi di pasar raya tersebut dengan harga RM3.05 satu peket sementara jenama tepung gandum bersubsidi semakin sukar diperoleh.
Tambahnya, pihaknya tidak menaikkan harga tepung gandum tidak bersubsidi sedia ada dan pada masa sama menasihatkan pengguna tidak melakukan pembelian panik.
"Langkah mengehadkan penjualan tepung gandum sekilogram kepada pembeli ekoran bekalan yang kurang diterima di semua cawangan pasar raya boleh dicadangkan.
"Langkah tersebut perlu bagi memastikan keperluan asas berkenaan dapat diperoleh lebih ramai pembeli namun perlu mendapat kebenaran pihak KPDNHEP terlebih dahulu," katanya.
Pada Selasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, bekalan tepung gandum negara dijangka tidak terjejas di sebalik larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik.