TIDAK ada pilihan bagi Everton melainkan perlu menewaskan Crystal Palace di Goodison Park dalam usaha menjarakkan kedudukan dengan kelompok bawahan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Justeru, pengendali Everton, Frank Lampard berharap agar pemain-pemain yang beraksi berdepan skuad The Eagles itu pada Jumaat, mempamerkan aksi cemerlang bagi merealisasikan misi kemenangan berkenaan.
"Apa yang saya boleh kata, perlawanan ini ibarat perlawanan ‘wajib menang’ buat Everton setelah ‘terlepas’ peluang kemenangan berdepan Brentford Ahad lalu.
"Jika menang dengan Brentford, kita sudah boleh berbangga apabila berada pada kedudukan yang lebih baik.
"Ini kerana aksi terakhir kita nanti adalah berdepan Arsenal di Emirates dan ia merupakan satu tugas yang berat bagi mencatatkan kemenangan,” katanya.
Mengulas aksi berdepan Crystal Palace, Lampard berkata kebanyakan pemain Everton kita berdepan masalah kecederaan.
Katanya, rombakan akan dibuat bagi memastikan hanya pemain-pemain terbaik bakal beraksi nanti.
"Michael Kane, Ben Godfrey, Yeri Mina masih cedera...manakala Jarrad Branthwaite berdepan panggantungan kerana dilayangkan kad merah ketika berdepan Brentford.
"Selain itu, keadaan pemain tengah, Fabian Delph juga masih belum cergas sepenuhnya untuk beraksi,” katanya.