NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres pada Selasa menyeru masyarakat antarabangsa berusaha beralih kepada sistem tenaga lestari, lapor Xinhua.
"Kita perlu beralih kepada sistem tenaga lestari - walau di mana sahaja.
"Ketagihan kepada penggunaan bahan api fosil mesti berakhir, bermula dengan arang batu, menjelang 2030 di negara OECD, dan 2040 di tempat lain," kata ketua PBB itu menerusi perutusan videonya ketika Forum Tenaga Lestari Untuk Semua yang dihoskan kerajaan Rwanda.
"Menghilangkan jurang terhadap akses tenaga dan menamatkan kemiskinan tenaga adalah penting bagi mencapai Agenda 2030 untuk Pembangunan Lestari.
"Ia juga asas untuk menangani krisis iklim.
"Untuk mengehadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah (Celsius), kita juga perlu mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan mengubah pengeluaran tenaga," kata setiausaha agung itu.
Guterres menegaskan elemen solar dan angin telah menjadi sumber tenaga paling murah di kebanyakan negara.
"Sektor tenaga boleh diperbaharui menjana tiga kali ganda peluang pekerjaan berbanding sektor bahan api fosil,” katanya.
Mengenai komitmen negara maju, Guterres berkata mereka"perlu memenuhi janji menyediakan AS$100 bilion setahun bagi tindakan terhadap iklim di negara membangun".
"Bersama-sama, marilah kita meneruskan agenda yang baik untuk manusia dan bumi, serta membina masa depan ke arah penggunaan tenaga yang mapan, adil dan saksama untuk semua," katanya. - Bernama