KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) menggesa kerajaan menggantung serta-merta lesen badan pensijilan halal Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) sehingga siasatan terhadap syarikat itu selesai.
Presidennya, Faizan Mohd Nor turut mendakwa, SICHMA telah terlibat secara langsung untuk menutup pelbagai salah laku terhadap status halal daging di Australia.
"Jadi, apabila terbukti Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia melanggar prosedur operasi standard (SOP), berapa banyak lagi sembelihan di bawah mereka yang turut melanggarnya?
"Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakat Islam Malaysia, kami tidak berhenti untuk terus mencari saksi, bukti dan petunjuk agar ia dapat diselesaikan.
"Pekemas juga telah membuat laporan terhadap salah laku ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya semasa sidang akhbar di sini pada Rabu.
Pada 14 Mei, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) menggantung kelulusan penyembelihan halal yang diberikan kepada loji sembelihan TFI serta-merta.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Mohd Norlizan Mohd Noor dalam satu kenyataan bersama berkata, penggantungan itu dilakukan sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.
Pada masa sama, Pekemas turut menuntut siasatan penuh terhadap pegawai atasan Jakim dan sekutunya yang didakwa terlibat secara langsung terhadap isu itu.
Faizan mendakwa, menerusi satu rakaman audio, pegawai itu mengaku menjadi dalang di sebalik menyahsenaraikan beberapa pensijilan halal asing.
"Pegawai itu turut menggambarkan bahawa tiada sesiapa boleh 'menyentuhnya' dan bagaimana dia akan menyimpan bukti salah laku orang lain.
"Dia akan menggunakannya terhadap sesiapa sahaja yang cuba menyingkirkannya,” jelasnya.
Selain itu dakwanya, menurut individu yang pernah bekerja bersama pegawai berkenaan, beliau telah mengarahkan agar bangkai berkenaan ditukarkan penanda dan dilabelkan sebagai halal.
Pegawai itu turut membenarkan proses penyembelihan tidak mengikut SOP halal yang ditetapkan dan mengabaikan panduan syariah.
"Beliau turut membenarkan penyembelihan dilakukan oleh bukan beragama Islam selain memberi layanan buruk dan mengancam pekerjaan mereka.
"Kesihatan dan kebajikan penyembelih langsung tidak dijaga malah terpaksa bekerja walaupun cedera,” ujarnya.
Faizan berharap siasatan akan dijalankan serta-merta dengan tulus kerana melibatkan integriti halal dan masyarakat Islam.