Tutup lampu bot elak dikesan pihak berkuasa

Iklan
Bot nelayan tempatan kelas C disita untuk tindakan selanjutnya.

GEORGETOWN - Tindakan sekumpulan nelayan tidak memasang lampu pada bot agar tidak dilihat anggota penguat kuasa gagal apabila mereka ditahan pada Selasa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot tempatan kelas C itu dikesan bergerak dalam keadaan gelap ketika sepasukan penguat kuasa membuat rondaan dalam Op Pertiwi/ Op Benteng pada jam 10.55 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan mendapati seorang tekong warga tempatan berusia 51 tahun dan tiga kru warga Indonesia berusia lingkungan 44 hingga 52 tahun berada dalam bot berkenaan.

"Ketika rondaan dibuat, didapati sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan bergelap disyaki sedang beroperasi menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan 4.6 batu nautika barat Kuala Sungai Pinang.

Iklan

Pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati ia melanggar syarat sah lesen.

"Kesemua warga Indonesia itu memiliki dokumen pemaustatin tetap," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Katanya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Batu Maung, Bayan Lepas itu disita untuk tindakan lanjut.

"Bot berkenaan bersama tekong, tiga kru, peralatan menangkap ikan serta ikan campur anggaran berat 100 kilogram disita dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

"Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan," katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia Pulau Pinang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.

Katanya lagi, orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.