Najib minta saya bertemu bekas pengerusi PAC: Saksi

Iklan
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Rabu bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah memintanya supaya bertemu bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Hasan Arifin bagi mendapatkan 'garis panduan' berhubung keterangannya kepada PAC pada 2016.

Mohd Bakke, 68, berkata beliau menerima panggilan daripada bekas perdana menteri itu kira-kira dua minggu sebelum prosiding PAC pada 11 Februari 2016.

Iklan
Iklan

"Saya menerima panggilan daripada Najib meminta saya berjumpa dengan Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin. Beliau mengajak saya berjumpa di rumah Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan, bekas pengarah urusan TV3. Dan kalau saya boleh ingat, panggilan telefon daripada PM, pastinya sebelum prosiding PAC.

"Beliau mahu saya berjumpa dengan Hasan Arifin dan juga Datuk Farid Ridzuan, hanya untuk memastikan kita semua memahami secara kasar apa yang perlu dikongsi atau diperkatakan di PAC, dan itulah intipatinya, semacam keharmonian. Pada masa itu yang menjadi perhatian adalah untuk menjaga reputasi PM, bimbang akan kejatuhan daripada perkara 1MDB ini, saga 1MDB.

Iklan

"Saya kata ok, tetapi saya juga sebutkan kepada PM, kebimbangannya akan reda jika saya tidak dipanggil ke prosiding ini, itu lebih baik, tetapi bukan itu yang berlaku, saya dipanggil," katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Iklan

Saksi itu selanjutnya berkata beliau bertemu Hasan dua kali pada dua hari berbeza di rumah Farid di Kiara Hills, dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada mesyuarat pertama dan kemudian Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hadir pada mesyuarat kedua.

"Saya beranggapan bahawa Hasan dan Ahmad Farid hanya cuba untuk membuat saya menjadi lebih akomodatif, jangan terlalu keras dengan keterangan atau jawapan kepada PAC, jangan cuba mengelak perkara tertentu kerana ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau nama Jho Low pun dianggap tabu, tidak boleh sebut,” katanya.

Muhammad Shafee: Tan Sri, apakah perkara yang dianggap"sensitif"?

Mohd Bakke: Dua perkara, satu, nama Jho Low, satu lagi PM... cuba jangan buat sebarang rujukan kepada PM, cuba cakap dari segi pengurusan, lebih kepada usaha pengurusan.

Mohd Bakke berkata, beliau hanya mendengar kerana beliau tahu apa yang akan beliau perkatakan pada siasatan PAC dan beliau tidak akan menjejaskan keterangannya pada siasatan PAC.

"Saya tidak akan membenarkan sesiapa mempengaruhi saya. Jadi saya hanya akan mengaitkan perkara itu, kerana itu adalah perkara yang benar, jadi saya akan berterus terang,” kata saksi itu.

Menjawab soalan lain, saksi itu berkata Jho Low adalah perantara antara 1MDB dan Najib dan bukan nomini kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. - Bernama