ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan melakukan siasatan kemungkinan wujudnya kartel dalam industri padi di negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berikutan model penanaman padi yang diusahakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mampu mencapai hasil 7.8 tan sehektar, berbanding purata hasil padi sedia ada sebanyak enam tan sehektar.
Menurutnya, perbezaan hasil padi tersebut mencurigakan kerana kedua-duanya menggunakan sumber, benih dan pengairan yang sama.
"LZNK mengusahakan sendiri tanah sawah padi mereka sekitar 100 relung yang dilakukan transformasi dan dikerjakan sendiri oleh mereka, hasil tuaian pertama mampu cecah 7.8 tan sehektar.
"Saya kata tentulah ada sebab yang menyebabkan kita hanya dapat enam tan sehektar dengan masa yang begitu panjang selain subsidi, baja, racun yang semakin hari makin bertambah.
Kalau dibandingkan, kita juga ketinggalan dengan Selangor yang hasilkan sembilan hingga 12 tan sehektar,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, apa jua senario atau situasi yang mengekang pertambahan penghasilan padi harus diatasi segera.
"Sekiranya ada kartel dalam industri padi, ia mesti dihapuskan.
Barulah nasib petani akan berubah dan pengeluaran makanan meningkat.
Saya mahu semua orang jujur dalam industri ini sebab ia penting untuk negara.
"Saya akan pastikan perkara ini diperangi habis-habisan.
Kalau ada kartel ini di Kedah, jangan bagi saya jumpa, tindakan tegas akan diambil,” katanya lagi.
Menurut Sanusi, pihaknya meragui rangkaian dalam industri padi yang memungkinkan berlaku ketidakjujuran dalam mana-mana peringkat bermula daripada pembekalan benih padi hingga ke peringkat pengilang.
"Adakah betul hasil setakat enam tan sehektar? Atau alat timbang kita rosak atau dirosakkan?
Apakah faktor yang menyebabkan kita hanya dapat enam tan? Adakah rangkaian dalam industri padi ini dihadkan supaya hasil hanya enam tan sedangkan model baru LZNK dapat mengatasinya.
"Apabila LZNK buat sendiri, timbang dan ada kilang proses sendiri boleh cecah 7.8 tan sehektar.
Kenapa dengan kilang, orang, broker, misi, traktor dan baja sama, malah air dari terusan yang sama, kita hanya dapat enam tan,” soalnya.
Tegas Muhammad Sanusi, perkara berkenaan akan diberikan pertimbangan dan perhatian untuk mencari penyelesaian kepada industri padi di negeri ini.
"Polisi yang kita mahu adalah daripada sawah padi, baja dan terusan yang sama, hasilnya mesti serupa.
Kenapa hasil tak sama? Mungkin ada rangkaian di mana-mana yang tersimpul, simpulan ini mesti dibuka dengan tegas,” katanya lagi.
Menurutnya, pihaknya akan memastikan model tanaman padi yang diusahakan LZNK akan mencabar sistem sedia ada di negeri ini.
"Apa yang saya maksudkan adalah mereka yang terbabit dalam industri itu sendiri dan rangkaiannya.
Bermula daripada menanam, benih, baja, air, racun, kilang, mesin, broker, semua ini mesti berjalan atas landasan yang betul.
"Jangan ada yang menyimpang seperti sengaja rosakkan alat timbangan dan sebagainya,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi berkata, ekoran krisis makanan yang dijangka berlaku pada 2025 akibat beberapa sekatan dunia, kerajaan negeri sedang memperkemaskan agensi-agensi milik kerajaan dan Persekutuan agar mengambil tindakan proaktif bagi memastikan hasil negeri meningkat.
"Akibat daripada krisis dunia, India menghentikan esport gandum, selain Russia.
Krisis makanan akan menyebabkan produk berasaskan gandum termasuk bahan ternakan berlaku peningkatan harga.
Dengan sendirinya menyebabkan harga daging dan tenusu meningkat.
"Perkara ini adalah fokus kita untuk unjuran ke depan,” katanya.